Wanita Cari Kucing Hilang, Terkejut Jumpa Mayat 7 Remaja Sudah Kembung
Mayat tujuh remaja lelaki ditemukan dalam keadaan sudah mulai mengembung dalam Sungai Bekasi, di Jawa Barat, Indonesia pada 22 September.
Mayat berkenaan ditemui oleh seorang wanita yang merupakan penduduk tempatan ketika sedang mencari kucingnya yang hilang, kira-kira jam 5.30 pagi (waktu tempatan).
Menurut CNN, wanita berkenaan menemui sebanyak lima mayat manakala pemeriksaan lanjut oleh pihak berkuasa membawa kepada penemuan dua lagi mangsa.
Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada kesan keganasan atau kecederaan ditemui pada tubuh ketujuh-tujuh jasad remaja itu.
Bagaimanapun, ada mayat yang sudah mulai membusuk ketika ditemui dipercayai selepas terendam dalam air sekurang-kurangnya 24 jam.
Ke semua mayat kemudian telah dibawa ke Hospital Kramat Jati bagi menjalani proses pengecaman dan bedah siasat.
Keluar cari kucing, wanita temui mayat 7 remaja
Ketua Polis Metro Jaya, Jeneral Karyoto berkata, pihaknya setakat ini masih menyiasat lanjut kejadian itu termasuk menentukan punca kematian semua mangsa.
Namun begitu, berdasarkan keterangan awal saksi, semua mangsa disyaki terjun ke dalam sungai itu kerana takut terserempak dengan polis peronda di kawasan tersebut.
“Dari keterangan ringkas saksi, memang semua mangsa dikatakan terjun ke dalam sungai.
“Katanya kerana takut adanya polis peronda melalui kawasan itu dan menegur mereka. Kesahihan keterangan ini masih diperiksa,” katanya.
Karyato dalam pada itu menegaskan pihaknya akan menjalankan siasatan dengan telus dan tidak melindungi mana-mana anggotanya.
Siasatan telus akan dijalankan oleh pihak polis
Sekiranya terdapat pelanggaran ketika menjalankan tugas, anggota peronda yang terlibat akan dikenakan hukuman yang setimpal.
“Kami akan menyiasat jika ada sebarang kecuaian, dari pihak siapa, dan jika ada akan dipertanggungjawabkan,” kata Karyato.
Dalam pada itu, Kapala Kepolisian Sektor (Kapolsek) Lumbu, Kompol Sukadi mengesahkan polis ada menjalankan rondaan di kawasan berkenaan pada malam sebelum kejadian.
Rondaan itu dibuat selepas polis menerima laporan terdapat kumpulan remaja bermotosikal berkumpul dengan membawa senjata tajam di kawasan itu.
BACA: Anak Dakwa Sabari Mungkin Dipukau & Dilarikan
Sumber: CNN Indonesia, Kumparan