Lori Terbabas Jatuh Gaung, Lelaki Dilapor Tertimbus Dalam Tanah
Seorang lelaki dilaporkan tertimbus dalam tanah dalam satu kejadian di Batu 18, Jalan Sandakan-Lahad Datu pada awal pagi Isnin.
Difahamkan, nahas tersebut membabitkan sebuah lori tangki yang terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter.
Kemalangan tersebut berlaku sekitar jam 2.30 pagi, namun identiti mangsa masih belum dikenal pasti, lapor Sinar Harian.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dilaksanakan oleh pasukan bomba bagi mengesan dan menyelamatkan mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid, memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan insiden itu pada jam 2.42 pagi.
Sebaik sahaja menerima panggilan, seramai 10 anggota bomba segera dikerahkan ke lokasi kejadian, yang terletak sejauh 29 kilometer dari BBP Lahad Datu.
“Menurut laporan, kemalangan melibatkan lori tangki yang membawa muatan simen telah terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter.
“Terdapat seorang mangsa terlibat dilaporkan tersepit dan tertimbus di dalam tanah,” katanya.
Tambah beliau, operasi untuk mengeluarkan mangsa sedang giat dijalankan, dan perkembangan lanjut akan dikemas kini dari masa ke masa.
BACA: Isu Daftar Masuk & Keluar Premis Penginapan Terus Dapat Perhatian
BACA: 69 Pelajar Ditahan Merempit
BACA: Pekerja Kontrak Ditemukan Maut Dengan Kesan Tikaman, Tetakan