Nampak Sama Tapi Bukan, Penampilan Terkini Saharul Ridzwan Curi Tumpuan
Sebelum ini, pelakon Saharul Ridzwan telah menempa nama di dalam dunia seni lakonan sehingga tidak menang tangan untuk menerima tawaran lakonan yang datang bertubi-tubi.
Selepas melalui perhijrahan dan fasa baharu dalam kehidupannya, beliau kini dilihat aktif dalam perniagaan produk penjagaan kulit dan rambut.
Saharul Ridzwan jadi bualan ramai
Menurut Astro Gempak, bapa kepada tiga cahaya mata ini telah menjadi bualan peminat apabila tampil dengan penampilan bersongkok dan berkaca mata.
Berdasarkan video di akaun Instagram miliknya, Saharul Ridzwan yang dilihat menyarung baju kemeja bermotifkan batik sedang mempromosikan sebuah produk.
Namun, apa yang mencuri tumpuan orang ramai adalah penampilan pelakon itu seakan-akan mirip pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim Elias.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memberikan pelbagai reaksi terhadap perubahan terkini Saharul Ridzwan.
“Ingatkan ustaz kazim. Maaf mata saya kabur,” komen seorang warga maya.
“Dengan baju, kaca mata dan songkoknya, memang sama weh macam ustaz Kazim,” kata individu berkenaan.
“Ingat ustaz Kazim guna account abang Saharul,” komen seorang lagi warga maya.
“Hampir tertipu ingatkan ustaz Kazim Elias tadi,” ujar netizen.
Saharul dan isteri mendirikan rumahtangga pada tahun 2016
Untuk pengetahuan, Saharul Ridzwan merupakan pemenang ketiga dalam pertandingan Hero Remaja 2011/2012. Sejak itu, beliau telah aktif dalam dunia hiburan dan membintangi beberapa drama dan telefilem popular.
Antara pencapaiannya termasuk memenangi kategori Pelakon Lelaki Popular di Anugerah Telenovela 2015 dan Aktor Pilihan di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016.
Di samping itu, Saharul Ridzwan telah mendirikan rumah tangga dengan Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir atau dikenali sebagai Deena Emir pada 2016.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan manis ini telah dikurniakan tiga cahaya mata.
Sejak beberapa tahun lalu, beliau aktif mengikuti kerja dakwah kerana ingin mendekatkan diri dengan agama.
Sumber: Astro Gempak