Hujan Lebat, Ribut Petir Diramal Landa Kebanyakan Negeri Malam Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang hampir di seluruh Semenanjung dan beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak sehingga jam 10 malam ini.
Menerusi kenyataan di Facebook, agensi berkenaan memaklumkan hujan lebat dijangka melanda seluruh negeri Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Selain itu, hujan lebat dan petir turut diramal berlaku di negeri pantai timur iaitu di Terengganu melibatkan daerah Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman. Manakala di Kelantan, amaran telah dikeluarkan bagi Machang dan Kuala Krai.
Daerah Tanah Tinggi Cameron, Raub, Bentong, Temerloh, Kuantan, Bera, Pekan serta Rompin di Pahang turut dijangka mengalami hujan lebat sehingga malam ini.
BACA: “Dengan Penuh Rasa Rendah Diri Patik Mohon Ampun Kepada Tuanku Sultan Selangor” – Sanusi
Beralih ke Johor pula, amaran telah dikeluarkan meliputi kawasan seperti Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi serta Johor Bahru.
Di samping itu, MetMalaysia menjangkakan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di daerah Miri dan Limbang di Sarawak. Tambahan lagi, daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Nabawan dan Keningau) turut dijangka mengalami keadaan cuaca yang sama.
MetMalaysia berkata, amaran itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” ujar Met Malaysia lagi.