“Dengan Penuh Rasa Rendah Diri Patik Mohon Ampun Kepada Tuanku Sultan Selangor” – Sanusi
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini secara terbuka membuat permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik oleh Urus Setia Penerangan Darul Aman di Facebook, permohonan maaf itu berkaitan kenyataan beliau pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara di Gombak, Selangor yang didakwa menghina dan tidak menghormati baginda.
“Patik, Dato’ Seri Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah, dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tuanku Sultan Selangor di atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara dalam Daerah Gombak, Selangor sepertimana yang telah dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati DYMM Tuanku,” ujar beliau.
BACA JUGA: Sanusi Utus Warkah Kepada Sultan Selangor, Mohon Ampun & Maaf
Tambahnya lagi, beliau sedar kata-katanya telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati serta perasaan Sultan Selangor.
“Patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang timbul daripada kenyataan patik tersebut.
“Patik ingin menyembah maklum kepada DYMM Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan DYMM Tuanku yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini.
“Patik sedar apabila patik hadir ke negeri orang khususnya berkaitan kes patik ini apabila berada di Negeri Selangor, patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan sepertimana yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya.
“Oleh itu, dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, patik memohon beribu keampunan kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor atas keterlanjuran kata-kata patik,” katanya.
Sanusi juga berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang. Dalam masa sama, memastikan bahawa setiap ucapannya selaras dengan adab sopan budaya Melayu yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja.
BACA: Hujan Lebat Dijangka Badai Hampir Seluruh Semenanjung Hingga 6 Petang Ini