Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hujan Lebat, Ribut Petir Diramal Landa Kebanyakan Negeri Petang Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hampir seluruh negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia bakal dilanda hujan lebat, ribut petir dan angin kencang sehingga jam 6 petang ini.
Menerusi kenyataan di Facebook, seluruh negeri Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka bakal dilanda hujan lebat dan angin kuat.
Di Kedah, hanya daerah Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu yang terlibat manakala di Pulau Pinang pula, hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku di daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
Melihat keadaan di Pantai Timur, jangkaan hujan lebat di Terengganu melibatkan daerah Hulu Terengganu dan Dungun. Di Pahang pula, daerah Tanah Tinggi Cameron, Raub, Bentong, Bera dan Rompin dijangka menerima hujan lebat petang ini.
Amaran turut dikeluarkan bagi daerah Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian dan Kulai di Johor.
Beralih ke Sarawak, hujan lebat, ribut petir dan angin kuat dijangka berlaku di daerah Sri Aman, Betong (Pusa, Betong dan Saratok) dan Sarikei (Pakan) manakala di Sabah pula melibatkan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud).
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin berkata negara sedang berhadapan cabaran bencana apabila kerap berlaku banjir dan melibatkan kawasan yang tidak pernah dilanda bencana berkenaan.
Susulan itu, orang awam dinasihatkan agar berhati-hati dan elakkan berada di kawasan yang berisiko.

Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)
BACA: Paip Tangki Septik Meletus Tengah Jalan, Kenderaan ‘Dihujani’ Najis
BACA: Negara Berdepan Isu Banjir Di Kawasan Tidak Pernah Berlaku Sebelum Ini