IRGC Iran Lancar Puluhan Peluru Berpandu Balistik Ke Atas Israel
TEHRAN, 2 Okt (Bernama) — Iran menerusi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mula bertindak balas terhadap Israel dengan melancarkan peluru berpandu balistik ke atas kawasan Palestin yang diduduki Israel pada Selasa malam, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
IRGC Iran menyatakan bahawa ia telah mula menyerang sasaran ketenteraan penting dengan puluhan peluru berpandu.
Sebelum ini, tentera Israel mendakwa bahawa Iran telah mula melancarkan peluru berpandu ke kawasan Palestin yang diduduki mereka.
Rakaman video dari beberapa bandar di Iran seperti ibu negara Tehran menunjukkan bahawa serangan peluru berpandu telah dilancarkan terhadap entiti Israel.
Tehran, Isfahan, Tabriz, Shiraz, Khorramabad, Arak dan lain-lain di seluruh Iran menyaksikan pelancaran misil ke udara.
Dalam satu kenyataan, IRGC berkata serangan peluru berpandu itu adalah tindak balas terhadap pembunuhan yang dilakukan oleh Israel dan jenayah di Palestin dan Lubnan.
BACA: Kontrak Hendrawan Bakal Tamat, Lee Chong Wei Titip Ucapan Penghargaan
“Sebagai tindak balas ke atas pemergian Ismail Haniyeh, Hassan Nasrallah dan Komander IRGC Abbas Nilforushan, kami menyasarkan pusat wilayah yang diduduki,” kata IRGC dalam satu kenyataan.
IRGC Iran memberi amaran kepada Israel tentang tindak balas yang lebih hebat jika ia bertindak balas terhadap serangan itu.
“Setelah menahan diri daripada bertindak terhadap pencabulan kedaulatan Iran dalam pembunuhan Ismail Haniyeh oleh Israel dan hak yang sah untuk mempertahankan diri berasaskan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan peningkatan jenayah rejim itu dengan sokongan Amerika Syarikat dalam pembunuhan beramai-ramai di Lubnan dan Gaza dan “kesyahidan” Setiausaha Agung Hizbullah Hassan Nasrallah serta Komander dan Penasihat IRGC di Lubnan Jen Abbas Nilforushan, IRGC melancarkan puluhan peluru berpandu,” katanya.
IRGC menyasarkan sasaran penting tentera dan keselamatan di pusat wilayah diduduki, katanya.
Operasi ini dilaksanakan dengan kelulusan Majlis Keselamatan Tertinggi Nasional serta sokongan Tentera Republik Islam Iran dan Kementerian Pertahanan.
“Jika Israel bertindak balas secara ketenteraan terhadap operasi ini, yang dilakukan mengikut hak negara ini berasaskan undang-undang dan undang-undang antarabangsa, ia akan menghadapi serangan lebih hebat dan menghancurkan,” kata IRGC sebagai amaran.
Sumber: Bernama