50 Tahun Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, JAS Kukuhkan Tindakan Perlindungan Alam Sekitar
Bersempena 50 tahun pelaksanaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengadakan sesi interaktif bersama pengamal media. Sesi ini berlangsung pada 2 Oktober di Double Tree by Hilton, Putrajaya.
Ketua Pengarah JAS, Dato Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, kerjasama pelbagai pihak amat penting dalam menjaga kelestarian alam sekitar. Pelaksanaan sesi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JAS untuk berkongsi maklumat terkini bersama masyarakat. Perkongsian turut merangkumi perundangan alam sekitar dan langkah-langkah yang telah diambil oleh jabatan dalam melaksanakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Menerusi ucapannya, beliau berkongsi pencapaian penting JAS termasuk pewartaan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 yang telah berkuat kuasa pada 7 Julai lalu.
BACA: 27 Murid Alami Pening, Muntah, Akibat Pencemaran Bau
Pindaan ini bertujuan memperkasakan perundangan sedia ada dengan memperkenalkan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] yang dibuat pada kali merupakan pindaan ketujuh sejak 1974. Pindaan kali terakhir akta ini dilakukan pada tahun 2012.
Secara spesifik, pindaan ini merangkumi perkara-perkara berkaitan, pemantapan hukuman penalti dengan julat kadar denda minimum tidak kurang daripada RM5,000. Denda maksimum pula dipinda agar tidak melebihi RM10 juta.
Selain itu, kadar kompaun dinaikkan kepada tidak melebihi 50% daripada denda maksimum kesalahan berkaitan. Sebelum ini, kadar kompaun hanya setakat tidak melebihi RM2,000.
Menurut beliau lagi, denda maksimum RM10 juta pula boleh dikenakan kepada penjenayah alam sekitar. Ia meliputi kesalahan yang melibatkan pencemaran air, pencemaran buangan minyak serta buangan di perairan Malaysia dan pelupusan haram buangan terjadual.
Dalam pada itu, hukuman penjara mandatori diperkenalkan dengan tidak melebihi lima (5) tahun ke atas terhadap beberapa kesalahan. Kesalahan tersebut ialah yang melibatkan pelupusan haram buangan terjadual, pencemaran air, engkar perintah larangan dan ketidakpatuhan keperluan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA).
Punca bagi penetapan pakaian seragam kepada semua pegawai JAS turut dimasukkan dalam pindaan ini supaya imej anggota penguatkuasa JAS setaraf dengan agensi-agensi penguatkuasa yang lain.
BACA: Penting Demi Jaga Alam Sekitar, Ketahui Apa Itu EIA
Sesi ini turut menjadi platform bagi mengupas peranan penting Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) dalam memastikan projek pembangunan tidak menjejaskan alam sekitar.
Menerusi slogan ‘Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama‘, beliau menegaskan EIA bukan bertujuan menyukarkan projek. Sebaliknya ia sebagai satu langkah penting dalam memelihara ekosistem yang perlu dipatuhi semua pihak.
Beliau berkata, pihaknya menghadapi cabaran besar dalam menjalankan pemantauan terhadap lebih 34 juta punca pencemaran di seluruh negara, dengan kekuatan pegawai penguatkuasa yang terhad.
Oleh itu, beliau menekankan pentingnya kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan pihak berkuasa tempatan untuk menangani masalah pencemaran secara bersepadu.
BACA: Ladang Ternakan Babi Didakwa Sebabkan Pencemaran Sungai Diarah Tutup
Dato Wan Abdul Latiff juga menyeru masyarakat untuk membudayakan pemuliharaan alam sekitar sebagai sebahagian daripada gaya hidup.
Menurutnya, media memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat yang tepat kepada masyarakat. Perihal ini terutamanya dalam era di mana maklumat sering disalah tafsir atau diambil dari sumber yang tidak sahih.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pihaknya akan terus mengukuhkan inisiatif dan kerjasama dengan semua pihak dalam usaha melestarikan alam sekitar.
“Alam sekitar adalah amanah kita bersama,” ujarnya.
Sumber: Jabatan Alam Sekitar