Bukit Bintang Termasuk Senarai 10 Destinasi Pelancongan ‘Overrated’ Di Asia
Tidak dapat dinafikan bahawa Kuala Lumpur merupakan sebuah bandar yang kaya dengan pelbagai tarikan yang menggamit perhatian pelancong dari seluruh dunia.
Ibu kota Malaysia ini menawarkan keunikan budaya, keindahan alam semula jadi serta sejarah yang penuh dengan kisah menarik.
Antara destinasi paling popular dalam kalangan pelancong, terutamanya mereka yang gemar membeli-belah dan menikmati kehidupan malam, pastinya Bukit Bintang.
Bukit Bintang dikenali sebagai pusat pelancongan kegilaan ramai di Kuala Lumpur.
Dari deretan pusat beli-belah bertaraf antarabangsa hingga ke restoran dan kafe moden, kawasan ini sering menjadi tumpuan ramai.
Tidak hairanlah, ramai yang menjadikan Bukit Bintang sebagai destinasi wajib singgah ketika melawat Kuala Lumpur.
Bukit Bintang duduki tempat ke-10 dalam senarai destinasi pelancongan ‘overrated’ di Asia
Baru-baru ini, Times of India berkongsi senarai 10 destinasi pelancongan yang dikategorikan sebagai ‘overrated’ di Asia.
Berdasarkan senarai tersebut, Phuket Thailand merupakan destinasi pelancongan yang paling ‘overrated’ di Asia, diikuti dengan Bali, Indonesia (ke-2) dan Great Wall of China (ke-3).
Mengejutkan, Bukit Bintang yang sentiasa ‘hidup’ siang dan malam turut termasuk dalam senarai itu, menduduki tempat ke-10.
Times of India menjelaskan beberapa kelemahan yang mungkin menjadi punca destinasi popular ini dianggap ‘overrated’.
Antaranya, suasana yang sentiasa sesak dan bising, terutamanya pada waktu puncak, boleh menjadi faktor yang mengganggu keselesaan pelancong.
Selain itu, harga barangan dan perkhidmatan di kawasan ini juga dilaporkan meningkat dengan ketara, menjadikannya kurang mesra bajet bagi sesetengah pelancong.
BACA: Rupa-Rupanya Ini Sebab Susah Nak Jumpa Tong Sampah Dekat Jepun
Bagi pelancong yang mencari ketenangan atau keunikan budaya, Bukit Bintang mungkin tidak menawarkan apa yang mereka inginkan.
Meski disenaraikan sebagai destinasi yang mungkin tidak menepati jangkaan sesetengah pelancong, Bukit Bintang masih mempunyai daya tarikannya tersendiri.
Keunikan kawasan ini terletak pada kepelbagaian yang ditawarkannya, dari pusat beli-belah mewah seperti Pavilion Kuala Lumpur hingga ke kedai-kedai kecil yang menjual barangan tempatan.
Selain itu, Bukit Bintang juga terkenal dengan deretan restoran yang menawarkan hidangan dari pelbagai negara, selain juadah tempatan yang sukar ditandingi.
Bagi mereka yang datang untuk menikmati suasana bandar moden, kesibukan bandar dan kemudahan membeli-belah yang tiada tandingan, Bukit Bintang tetap menjadi pilihan utama.
BACA: “Capo” Lekir Umum Tidak Lagi Bersama Ultras Malaya
Sumber: MSN