Elak Terbeli, Ini 4 Tip Nak Kesan Tanda-tanda Kereta Terpakai Pernah Tenggelam Banjir
Memiliki sebuah kereta pada hari ini sudah boleh dianggap sebagai satu kemestian. Dengan adanya kenderaan peribadi itu, aktiviti harian seperti ke tempat kerja, keluar membeli barang atau menghantar anak-anak ke sekolah menjadi mudah.
Ketika membeli kereta, kita biasanya memilih kenderaan yang sesuai dengan bajet dan mampu memenuhi semua keperluan peribadi.
Jadi, tak hairanlah ada yang yang lebih selesa memiliki kenderaan terpakai (second hand) berbanding memiliki sebuah kereta baharu.
Selain harganya lebih murah berbanding kereta baharu model yang sama, ada kereta terpakai ini sebenarnya berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan untuk jangka masa yang panjang.
Tip kesan tanda banjir pada kereta terpakai sebelum beli
Namun begitu, membeli kereta terpakai tidak boleh dibuat secara sambil lewa. Banyak perkara yang perlu diteliti. Bimbang kereta yang dibeli sebenarnya mempunyai sejarah terlibat dalam kemalangan atau pernah terendam di dalam banjir.
Oleh itu, SK kali ini ingin berkongsi dengan anda semua beberapa tip bagaimana mahu mengenal kesan-kesan banjir pada kereta terpakai yang hendak dibeli.
Tip ini diambil daripada perkongsian seorang pengguna TikTok menerusi akaun @pakwee_oe.
Menurut @pakwee_oe, tip pertama untuk mengesan tanda-tanda air banjir adalah dengan membuka penutup pada bahagian pemijak tepi pintu kereta.
Dengan menyelak karpet tempat pemijak, anda akan dapat melihat kesan-kesan lumpur yang sukar dibersihkan pada bahagian dalamnya.
“Lumpur tu bukan senang nak cuci, kadang-kadang cuci pun takkan hilang kalau dia terendam dalam jangka masa yang lama,” kata @pakwee_oe.
Selain itu, anda juga boleh memeriksa wayar-wayar yang terletak di bawah penutup pada bahagian tepi tempat duduk tersebut.
Biasanya, kesan-kesan lumpur akan melekat di celah-celah wayar dan boleh dikesan jika dilihat dengan teliti.
Tambah @pakwee_oe, walaupun kereta tersebut pernah dicuci, pasti mempunyai sedikit kesan lumpur pada bahagian wayar itu.
Periksa setiap bahagian kenderaan sebelum membeli
Tip seterusnya yang boleh diguna pakai adalah dengan memeriksa bahagian tali pinggang keselamatan.
Apa yang perlu anda buat adalah menarik tali pinggang keselamatan sehingga habis terlebih dahulu.
Sekiranya kereta pernah terendam dalam banjir, kesan tompok-tompok atau tona warna berbeza akan kelihatan pada permukaan tali pinggang keselamatan berkenaan.
Terakhir, pembeli juga boleh memeriksa keadaan wayar-wayar yang ada di bawah papan pemuka kenderaan.
Kotoran-kotoran akibat terendam air banjir, terutamanya dalam tempoh yang lama adalah sangat sukar dibersihkan pada bahagian-bahagian tersebut.
Menjengah ke ruang komen, rata-rata warga maya berterima kasih dengan perkongsian yang dibuat oleh pengguna TikTok berkenaan.
Anda juga boleh menonton video daripada @pakwee_oe di bawah untuk memahami lebih lanjut cara yang dimaksudkan. Semoga bermanfaat.
BACA: Anak Najib Razak, Nooryana Najwa Dilantik Sebagai Ahli Lembaga Pengarah MATRADE
@pakwee_oe Mcm mne nk tau kete tu perna kena banjir? Cara check kereta banjir🤔 #keretabanjir #pakwee #malaysia #dtinzautodetailing #untukkomerajer #tips #tipsandtricks #tipskereta #fypmalaysia #kereta #Makwee #kh_pakwee #kh_pakwee #mohcarimakan #pakweecarimakan #tiktok #2ndhandcar #kereta2ndhand #kereta2ndhandmurah #2ndhandcars
Sumber: @pakwee_oe via TikTok