Gagah Macam Badang, Porter Rileks ‘Belanja’ Pikul Barang Puluhan KG Daki Gunung Kinabalu
Tiba di puncak Gunung Kinabalu boleh dianggap sebagai antara impian tertinggi kepada semua rakyat tempatan yang meminati aktiviti mendaki.
Untuk tiba di puncak gunung yang memiliki ketinggi melebihi 4,000 meter itu sudah tentu menuntut persedian rapi dan komitmen yang tinggi.
Selain persediaan fizikal yang perlu mantap, anda juga memerlukan kekuatan mental yang bukan calang-calang untuk menakluk gunung berkenaan.
Namun begitu, siapa sangka ada yang menjadikan aktiviti mendaki Gunung Kinabalu sebagai satu pekerjaan yang dilakukan hampir setiap hari.
Dikenali sebagai porter, kumpulan lelaki gagah ini mengambil upah mengangkut pelbagai barang ke puncak gunung tersebut.
Porter pikul barang puluhan kg daki Gunung Kinabalu
Menerusi video yang dikongsikan oleh pengguna TikTok, @joemilan87, dia berkongsi kegagahan porter ini mendaki Gunung Kinabalu sambil menggalas pelbagai barang di belakang mereka.
Antaranya barang-barang yang dibawa termasuklah tong gas, tangki minyak diesel, tiang elektrik, produk makanan dan pelbagai lagi.
@joemilan87 kemudian sempat bertanya mengenai berat barang yang diangkut oleh beberapa porter ketika mereka berselisih di satu laluan.
Apa yang mengejutkan, berat barang yang diangkut mereka mendaki gunung tersebut rata-ratanya antara 30 hingga 40 kilogram.
Difahamkan, caj yang dikenakan untuk mengangkat barang-barang tersebut adalah sekitar RM14 per kilogram.
@joemilan87 Badang Sabah.. Rm14/Kg
Dalam pada itu, @joemilan87 sempat berkongsi berat beg yang digalasnya ketika itu.
Kata lelaki itu, beg yang digalas ketika itu hanya kira-kira 8kg sahaja. Namun begitu, apabila melepasi jarak tiga kilometer pendakian, dia merasakan seperti sedang menggalas beban seberat 30kg pula.
Oleh itu, dia merasa kagum melihat kekuatan yang dimiliki oleh porter-porter di Gunung Kinabalu kerana mereka melakukan perkara tersebut sebagai satu pekerjaan.
Video berkenaan mendapat 307k tontonan setakat ini
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok berasa kagum dengan usaha mereka untuk mencari sumber pendapatan.
Namun ada juga warga maya yang merasakan kadar upah yang dikenakan tidak berbaloi dan sangat murah.
Pada masa yang sama, ada juga yang risau dengan tubuh badan porter tersebut yang mengangkut beban berat secara kerap.
“Dah penat, letih, dahaga dan lemah tetapi masih tenang apabila disapa. Masih boleh menyembang, kalau aku rasanya memang out,” komen seorang wargamaya.
“Semoga mereka terus diberikan kekuatan fizikal, mental, kesihatan yang baik. Rezeki juga makin bertambah,” komen seorang lagi wargamaya.
BACA: Wanita Disyaki Langgar Pelajar UiTM Direman Empat Hari
Sumber: @joemilan87 via TikTok