Israel Dakwa Yahya Sinwar Terkorban Dalam Serangan Di Gaza
Tentera Israel mendakwa pemimpin tertinggi Hamas, Yahya Ibrahim Hassan Sinwar telah terbunuh dalam satu serangan di Gaza, lapor AFP.
Menerusi dakwaan tersebut, Sinwar terkorban ketika operasi tentera di selatan Semenanjung Gaza pada Rabu. Pihak tentera turut menyiarkan video yang didakwa saat akhir Sinwar sebelum dibunuh.
“Sinwar terbunuh dalam satu serangan di selatan Rafah, Gaza berdekatan sempadan Mesir ketika dijejaki menggunakan dron,” katanya.
BACA: Israel Dakwa Sedang Periksa Kemungkinan Yahya Sinwar Terbunuh
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pembunuhan Sinwar merupakan salah satu langkah dalam menghapuskan pemerintahan Hamas.
Namun begitu, pihak Hamas belum membuat sebarang pengesahan berkenaan pembunuhan tersebut.
Sebelum ini, Sinwar memegang tampuk pemerintahan selepas Ismail Haniyeh terbunuh dalam serangan pada Julai lalu.
Sementara itu, satu serangan udara dari pihak Israel terhadap kem perlindungan di kawasan sekolah telah mengorbankan 14 nyawa. Namun, tentera Israel mendakwa serangan tersebut mengenai pihak Hamas.
BACA: Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh Terbunuh Dalam Serangan Udara Israel Di Tehran
Menurut penilaian yang disokong Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), musim sejuk kali ini menyaksikan sekitar 345,000 penduduk Gaza berdepan kebuluran.
“Hampir 100 peratus penduduk Gaza kini hidup dalam kemiskinan. Peperangan ke atas Gaza bakal dirasai oleh generasi-generasi akan datang,” katanya.
Terdahulu, Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan berlaku serangan di Lembah Bekaa selepas tentera Israel mengeluarkan amaran pemindahan kepada orang awam di sana.
Pihak tentera Israel pula mendakwa serangan tersebut dilakukan terhadap kumpulan militan dan sekutu yang berada di Tyre, selatan Lubnan.
BACA: Tentera Malaysia Di Lubnan Boleh Serang Balas Israel Jika Kedudukan Terancam
Sumber: AFP