Siakap Keli
perdagangan malaysia
Sumber : BERNAMA

Perdagangan Malaysia Pada Sembilan Bulan Pertama Meningkat 10.2% Tahun Ke Tahun

Perdagangan Malaysia Pada Sembilan Bulan Pertama Meningkat 10.2% Tahun Ke Tahun

Perdagangan Malaysia pada tempoh Januari hingga September 2024 meningkat 10.2% kepada RM2.139 trilion, melebihi aras RM2 trilion dalam tempoh sembilan bulan berbanding sepuluh bulan pada tahun lalu. Sejajar dengan unjuran oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang menganggarkan peningkatan eksport di Asia  sebanyak 7.4% pada 2024, eksport Malaysia berkembang sebanyak 5.2% kepada  RM1.115 trilion. Import naik 16.1% kepada RM1.024 trilion, menghasilkan lebihan  dagangan sebanyak RM91.21 bilion. 

Pada September 2024, prestasi perdagangan Malaysia mengukuhkan lagi momentum peningkatannya, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang kesembilan bulan berturut-turut. Perdagangan naik sebanyak 4.7% kepada RM234.84 bilion berbanding September 2023 disokong terutamanya oleh prestasi yang kukuh dalam sektor  pertanian.

perdagangan malaysia

Malaysia mencatatkan eksport bernilai RM124.01 bilion, dan import  sebanyak RM110.83 bilion, menghasilkan lebihan dagangan yang ke-53 bulan berturut turut. 

Pertumbuhan eksport telah dicatatkan bagi barangan optik dan saintifik, minyak sawit  dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan  peralatan. Dari segi pasaran, kenaikan eksport yang ketara telah dicatatkan ke Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan. Tambahan pula, eksport ke Taiwan   merekodkan nilai tertinggi setakat ini, dipacu oleh eksport barangan elektrik dan  elektronik (E&E), khasnya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (ICs). 

Disokong oleh pertumbuhan kukuh 5.1% bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada separuh pertama (1H) 2024, Bank Dunia telah menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 4.9% bagi 2024 (unjuran pada April 2024: 4.3%).

Sementara  itu, WTO juga telah menyemak lebih tinggi pertumbuhan volum perdagangan barangan  dunia kepada 2.7% untuk 2024 (unjuran pada April 2024: 2.6%), berikutan inflasi yang  lebih rendah dan persekitaran kadar faedah lebih baik, faktor yang secara amnya  menggalakkan perbelanjaan perniagaan, serta meningkatkan pendapatan isi rumah  dan perbelanjaan pengguna.

Tinjauan yang optimis ini digambarkan di dalam petunjuk  makroekonomi Malaysia yang bertambah baik, termasuklah perdagangan, yang meletakkan negara ini pada landasan yang betul ke arah pertumbuhan ekonomi yang  berterusan dan mampan pada tahun mendatang. 

Butiran lanjut mengenai Prestasi Perdagangan Malaysia bulan September 2024 dan  Januari hingga September 2024 boleh didapati di Lampiran di bawah, yang perlu  dibaca bersama dengan Nota yang mengiringi laporan ini. 

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.