Daniel Powter Unggul Di Knights Award 2024, Puji Malaysia
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) — Penyanyi tersohor Kanada Daniel Powter, yang baru-baru ini dinobat pemenang acara The Knights Award 2024 Musim 3 – Edisi Global Edition, menzahirkan rasa kagumnya dengan Malaysia dan menganggap kunjungan pertamanya ke negara ini satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan, sambil memuji makanan dan rakyat Malaysia.
“Saya teruja menjadi pemenang The Knights Award Musim 3. Lawatan pertama saya ke Malaysia begitu menyeronokkan – makanan yang sedap, rakyatnya yang begitu mesra; Malaysia memikat hati saya. Pengalaman yang indah,” katanya selepas menerima anugerah berprestij itu di Dewan Filharmonik PETRONAS, Menara Berkembar Petronas, KLCC, pada 14 Oktober lepas.
Acara berkenaan meraikan kecemerlangan global dengan Powter juga menyampaikan persembahan sebagai artis tetamu. Penyanyi ini dikenali dengan lagu hitnya “Bad Day,” yang meraih lebih 600 juta pendengar di Spotify dan jualan lebih 25 juta album.
The Knights Award, yang diasaskan oleh usahawan Dr Zyro Wong dan disampaikan oleh Mee Hiris China Muslim, turut menerima perakuan Pusat Inovasi Belia Komanwel, mewakili 56 buah negara.
Dr Zyro berkata jawatankuasa penganjur berhasrat untuk menjadikan anugerah lebih terbilang dan mewujudkan pautan pemimpin-pemimpin elit yang akan berusaha untuk kejayaan komuniti peniaga serta pertumbuhan ekonomi yang positif.
Majlis berkenaan turut dihadiri Penasihat Kehormat Tengku Datuk Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj, yang juga Pengarah Kumpulan iKhasas, Presiden Pengasas Dewan Perniagaan Laluan Sutera Malaysia-China, Tan Sri Ong Tee Keat, Putera Norodom Naravong dari Kampuchea, Jeneral Surapon Tapananont dari Tentera Diraja Thailand dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy.
Ramai tokoh ternama, ikon perniagaan, selebriti tempatan dan luar negara serta pemimpin korporat hadir di majlis itu. Lebih 30 peratus pemenang tahun ini adalah bakat antarabangsa.
Sejumlah 44 individu dan syarikat ternama diiktiraf di bawah tiga kategori anugerah untuk pencapaian dalam pelbagai industri.
Anugerah tertinggi iaitu Anugerah Duke memberi penghormatan kepada pemenang yang paling unggul. Antara penerimanya ialah Powter (International Timeless Singer of the Year, North America), Dr Yusuf Bhai (Legendary Perfumer of All Time, UAE), Datuk Seri Bernard Chandran (Fashion Icon of the Year), Felix Demin (Inspiring Entrepreneur of the Year), dan Law Lan (Lifetime Achievement Award, Hong Kong).
Knights Award bertujuan memperkasa pemenangnya menerusi pemadanan perniagaan, jaringan kerja elit, lawatan korporat dan menggalakkan pertumbuhan bersama.
Ia juga menjadi platform untuk mempamerkan Malaysia sebagai hab keusahawanan dan inovasi yang semakin berkembang di samping memupuk kerjasama merentas industri dan kolaborasi rentas sempadan, di bawah slogan “Bond, Build & Bloom.”
Tahun lalu, BERNAMA TV, platform di bawah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), menerima anugerah untuk ‘Edaran Berita Terpantas Sepanjang Masa (Malaysia)’ untuk Musim Kedua.
BACA: Jepun Cipta Payung Mampu Tahan Tikaman Pisau & Benda Tajam
Sumber: Bernama