Jepun Cipta Payung Mampu Tahan Tikaman Pisau & Benda Tajam
Berikutan pertambahan serangan pisau yang membimbangkan, ratusan payung kalis tikaman benda tajam akan ditempatkan di seluruh stesen kereta api di Jepun.
Menurut SCMP, payung berkenaan merupakan aspek keselamatan dipertingkatkan yang diperkenalkan oleh West Japan Railwat CO (JR West).
Payung dengan kanopi diperbuat daripada bahan kalis tikaman itu boleh digunakan oleh penumpang untuk mempertahankan diri ketika serangan pisau berlaku.
Selain ringan dan mudah digunakan, payung itu akan menyukaran tindakan penyerang dan memberi masa yang cukup untuk kakitangan kereta api memberi bantuan.
Jepun cipta payung mampu tahan tikaman pisau dan benda tajam, tempatkan dalam kereta api
Menurut Presiden JR West, Kazuaki Hasegawa berkata, perisai pelindung yang digunakan sebelum ini adalah bersifat jarak dekat dan agak berat.
Justeru, pengenalan perisai berbentuk payung itu dijangka akan memberi kemudahan yang lebih baik kepada penumpang wanita.
“Apabila berlaku kecemasan, kami mahu kakitangan kami dapat bertindak balas dan penumpang dapat dipindahkan dengan selamat” kata Hasegawa.
Menurut SCMP, fizikal peranti keselamatan itu kelihatan mirip dengan payung biasa. Bagaimanapun, ia mempunyai batang yang lebih panjang iaitu kira-kira 20 sentimeter.
Ciri-ciri itu membantu mangsa menolak penyerang dengan payung dan menetapkan jarak yang lebih selamat daripada jangkauan tikaman.
Rangka payung itu juga diperkukuh dengan penambahan jejari untuk menguatkan pertahanan, manakala pemegangnya juga lebih tebal dan kuat.
Namun rekaan paling utama payung tersebut tentunya pada bahagian kanopi yang menggunakan bahan kalis tikaman benda tajam.
Kes serangan tikaman semakin berleluasa di Jepun
Menurut SCMP, penumpang kereta api di Jepun sebelum ini tidak mempunyai pertahanan terhadap serangan pisau selain daripada alat yang mereka bawa sendiri.
Bagaimanapun, kakitangan di stesen mempunyai akses kepada perisai akrilik dan “sasumata”, iaitu sejenis senjata yang boleh dijejak sehingga zaman era feudal di Jepun.
Sasumata merupakan sebatang besi dengan hujung bercangkuk. Ia digunakan untuk menjatuhkan penyerang dengan menarik bahagian kaki atau leher.
Kelemahan peralatan tersebut adalah kedua-duanya sukar digunakan dalam ruang terkurung gerabak kereta api.
BACA: Kanak-kanak Gaza Maut, Ditimpa Palet Bantuan Makanan Digugur Dari Udara
BACA: Selepas Batik, Sony Pictures Curi Perhatian Dengan Venom Wayang Kulit Pula
Sumber: South China Morning Post