Siakap Keli
Belanjawan 2025
Kredit: Bernama

Belanjawan 2025: 44 Buah Sekolah Baharu Bakal Dibina

Belanjawan 2025: 44 Buah Sekolah Baharu Bakal Dibina 

Sektor pendidikan negara terus menjadi keutamaan kerajaan apabila menjadi penerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan baru-baru ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebanyak RM64.1 bilion disediakan oleh kerajaan untuk Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2025.

Ia merupakan kenaikan lebih RM5 bilion berbanding peruntukan terdahulu, RM58.7 bilion seperti yang diumumkan dalam belanjawan tahun lepas.

Dengan pertambahan peruntukan tersebut, tentunya dapat memacu gerak kerja KPM untuk terus memperkasa anak bangsa dengan sistem pendidikan yang berkualiti.

44 sekolah baharu mula dibina tahun hadapan 

Menggunakan dana yang bakal disalurkan, sebanyak 44 sekolah baharu akan mula dibina pada tahun hadapan melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra Indah, Batu Pahat, Johor, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra (2), Hulu Langat, Selangor dan Sekolah Menengah Kebangsaan  (SMK) Semeling, Sungai Petani, Kedah.

Manakala di Timur Malaysia, dua sekolah bakal dibina iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lok Kawi, Putatan, Sabah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Dudong, Sibu, Sabah.

Tumpuan seterusnya adalah untuk membaik pulih kemudahan lain seperti kantin dan surau dengan peruntukan 100 juta ringgit bagi keselesaan para pelajar.

Kerajaan juga mengalakkan penglibatan badan swasta dan syarikat kerajaan dalam program pendanaan bagi penyediaan kemudahan lain di sekolah seperti dewan terbuka.

Murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 bakal menerima manfaat BAP

Sementara itu, Bantuan Awal Persekolahan 2025 (BAP) akan diteruskan dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM800 juta.

Inisiatif BAP dikatakan mampu memberi manfaat kepada 5.2 juta orang murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 dengan mengurangkan beban ibu bapa dalam persiapan sesi persekolahan baharu pada tahun hadapan.

Pembentangan Belanjawan 2025 turut melibatkan peruntukan bantuan makanan asrama dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sebanyak RM870 juta, meningkat berbanding RM784 juta tahun ini, yang bakal memberi manfaat kepada lebih 860,000 murid.

Belanjawan 2025 mengangkat martabat MBPK

Menerusi hantaran Kementerian Pendidikan Malaysia di Facebook, program PERMATA Kurnia yang menyediakan intervensi awal dan pendidikan berkualiti bagi kanak-kanak autisme ini juga mendapat perhatian khusus dalam Belanjawan 2025.

Kerajaan bersetuju untuk membina 11 buah Pusat Permata baharu di seluruh negara yang dilengkapi dengan pusat pendidikan autistik.

Turut akan dibina adalah dua buah sekolah pendidikan khas baharu di Johor Bahru, Johor dan Tuaran, Sabah.

Di samping itu, sekolah pendidikan khas di Johor Bahru bakal menjadi sekolah pertama yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan autistik.

“Elaun untuk murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) berjumlah RM150 sebulan akan diteruskan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM200 juta.

Belanjawan 2025 yang baharu dibentangkan ini adalah cerminan komitmen besar Kerajaan MADANI untuk mengangkat martabat MBPK termasuk kanak-kanak autisme menerusi kerangka pendidikan yang inklusif,” ujar hantaran itu.

BACA: Lelaki Kongsi Emaknya Mudah Terpengaruh, Sakan Main ‘Game’ Lepas Sembang Dengan Cashier MYDIN

Sumber: Facebook (1), (2), (3), (4), (5)

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.