Warga Asing Diberkas, Didakwa Cuba Culik Budak 2 Tahun
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki warga asing yang didakwa terlibat dalam cubaan menculik seorang kanak-kanak di Kampung Bunga Raya, Kuang pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 47 tahun mengenai kejadian terbabit.
“Mangsa melaporkan bahawa dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu, dia telah mendengar jeritan jirannya meminta tolong dan menjerit ada seseorang mahu mengambil anaknya.
Polis berkas warga asing, didakwa cuba culik budak berumur 2 tahun
“Dia kemudian pergi ke rumah jirannya itu sebelum melihat suspek cuba melarikan diri. Dia bersama penduduk lain mengejar suspek sebelum berjaya menahan suspek berdekatan kawasan pembuangan sampah,” jelasnya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.
Mohd Hafiz berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang terlibat merupakan kanak-kanak lelaki berumur dua tahun.
“Kejadian culik dipercayai berlaku di ruang tamu sebuah rumah dan suspek turut dipercayai bertindak berseorangan ketika kejadian.
“Suspek memperkenalkan diri sebagai tukang cuci ketika bertindak cuba menculik mangsa sebelum berjaya diberkas kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian,” katanya.
Jelasnya susulan kejadian itu, suspek yang ditangkap telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Manakala kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan dengan menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Azammudin Mohd Razib di talian 016-5661597,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, video memaparkan seorang lelaki warga asing diberkas orang ramai selepas dipercayai menculik seorang kanak-kanak menjadi tular di sosial media.
BACA: Buku Setebal 674 Muka Surat Ditulis Untuk Jawab Soalan Kenapa 1+1=2, Ini Sebabnya
Sumber: Sinar Harian