Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hanya Pelajar Lepasan SPM Sertai PLKN Januari 2025 – Adly
SUNGAI PETANI, 27 Okt (Bernama) — Hanya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan terlibat dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dijadualkan bermula Januari 2025, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Beliau berkata wujud salah faham dalam kalangan masyarakat berkenaan had umur yang ditetapkan untuk menyertai PLKN sekali gus menimbulkan keresahan orang ramai berhubung perkara terbabit.
“Tetapi, fokus kita ialah pelajar lepasan SPM, saya rasa di situ ada salah faham tentang kaedah pengambilan. Memang ada keresahan … mereka kata umur 30 sudah bekerja, tidak timbul isu, kita meletakkan akta tujuannya agar mereka diberi sedikit kelonggaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemerkasaan Usahawan Veteran (PUVET) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Peringkat Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di sini hari ini.
Adly berkata bermula Januari tahun hadapan, sebanyak 1,000 peserta terlibat dengan PLKN dan akan ditempatkan di dua kem latihan.
Sementara itu, mengenai dakwaan kekerapan kapal dari negara luar terutamanya China masuk ke perairan negara seperti yang tular baru-baru ini, Adly berkata masyarakat tidak perlu gusar dengan keselamatan dan keupayaan pertahanan di perairan negara.
“Saya rasa tak perlu gusar, ini amalan biasa dan kita dah sampaikan maklumat ini ke Parlimen bahawa ia sebahagian daripada kerjasama dua hala kita. Mana-mana kapal yang nak berlabuh di Malaysia kena buat permohonan kepada kita,” katanya.
Adly berkata sepanjang Oktober sahaja, Malaysia menerima kunjungan dari negara seperti Amerika Syarikat (USA), Itali, Jerman, Rusia dan China.
“Kita memang agak kerap terima (kedatangan kapal lain), kadang-kadang sebulan dua tiga kali kapal dari pelbagai negara. Ini amalan Malaysia sebagai negara berkecuali dan kita terbuka untuk menerima rakan-rakan pertahanan kita, tetapi mereka mesti melalui proses-proses ditetapkan,” katanya.
Terdahulu, Adly menyampaikan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) bernilai RM140,000 kepada 28 usahawan veteran ATM dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang yang terlibat dalam perniagaan seperti perkhidmatan, elektrik, pembuatan, makanan dan peruncitan.
“Hingga kini terdapat 161 usahawan veteran ATM telah menerima geran SPKLB dengan nilai keseluruhan berjumlah RM805,000.
“Saya harap dengan bantuan ini mereka akan dapat meningkatkan mutu keusahawanan mereka dalam konteks meningkatkan peralatan dan produktiviti, bagi membantu menambah pendapatan mereka,” katanya.
Sumber: BERNAMA