Kucing ‘Oyen’ Dipercayai Paling Gemuk Di Dunia Sudah Tiada
Seekor kucing berwarna oren, dipercayai paling gemuk di dunia dilapor mati selepas beberapa minggu menjalani program penurunan berat badan.
Menurut New Yor Post, kucing bernama Kroshik itu memiliki berat kira-kira 17 kilogram dan menghidapi beberapa masalah kesihatan, termasuk tumor kanser.
Kucing itu menjadi viral sebelum ini selepas diselamatkan oleh sekumpulan aktivis hak asasi haiwan dari ruang bawah tanah sebuah hospital di Rusia.
Kroshik difahamkan adalah kucing jalanan yang dijaga oleh petugas kesihatan di hospital berkenaan.
Oyen si kucing paling gemuk di dunia sudah tiada
Namun, kucing itu dikatakan telah diberi diet tidak sihat seperti sisa makanan, biskut dan juga sup yang mengakibatkan Kroshik mengalami obesiti dan tidak boleh berjalan.
Sepanjang berada dalam ‘kem’ menurunkan berat badan di Pusat Veterinar Khas di Perm, Rusia, Kroshik berjaya menurunkan berat sehingga 3 kilogram.
Bagaimanapun, keadaan kesihatannya mula merosot seperti mengalami kesukaran bernafas dan disahkan mati pada Sabtu lepas.
Menurut New York Post, veterinar percaya lapisan flab Kroshik terlalu tebal hingga menyebabkan imbasan yang dibuat sebelum ini gagal mengesan tumor barah yang merebak pada bahagian limpa dan organnya yang lain.
Tumor itu kemudian dipercayai menjadi punca kepada kegagalan fungsi pelbagai organ Kroshik.
Bagaimanapun, setakat ini punca kematian sebenar Kroshik masih belum diketahui.
Namun begitu, veterinar percaya walaupun bedah siasat dibuat, ianya masih sukar untuk menentukan sama ada tumor atau berat berlebihan yang menjadi punca kematian kucing berkenaan.
Menurut Galiana More, pemilik kepada pusat perlindungan yang merawat Kroshik, kucing cenderung untuk menyembunyikan masalah kesihatan yang dihadapi, sehinggalah keadaan sudah terlewat.
“Kroshik tidak menunjukkan tanda-tanda mengalami masalah pernafasan dan penghadaman sebelum ini.
“Kami tidak dapat melakukan imbasan ultrasound ke atasnya, tetapi sentiasa memantau keadaan kesihatan kucing itu,” katanya.
Malah, ujian kesihatan yang dijalankan dalam tempoh minggu kematiannya juga menunjukkan Kroshik berada dalam keadaan baik.
“Ia sangat menyedihkan kerana kami tidak tahu lebih awal dengan masalah kesihatan dihadapinya. Pemergian Kroshik adalah kehilangan besar kerana kucing itu menjadi simbol harapan semua,” kata More lagi.
BACA: KKM Akan Siasat Laporan Anggur Shine Muscat Thailand Ada Racun Perosak Berlebihan