Apabila usia semakin meningkat, mata pun mula menimbulkan masalah sehingga pemakaian cermin mata mungkin diperlukan. Justeru, apakah tips untuk memelihara dan menjaga kesihatan mata?
Untuk pengetahuan anda, mata merupakan anugerah tuhan yang sangat berharga. Oleh itu, kesihatan mata dan penjagaan secara berkala perlu diambil serius.
Tips penjagaan kesihatan mata
Pemilihan makanan
Pemakanan yang betul memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan mata, kerana ia dapat mencegah daripada penyakit merbahaya. Pengamalan makanan seimbang adalah cara terbaik untuk memperoleh nutrisi yang cukup seperti vitamin A, C, dan E daripada sumber sayur-sayuran seperti bayam, kacang badam, betik, brokoli serta buah-buahan. Ini kerana, sumber-sumber tesebut mengandungi sifat antioksidan dan anti radang.

Senaman untuk mata
Teknik yang pertama adalah dengan melihat satu objek berdekatan. Sebagai contoh, keluar daripada rumah kemudian fokus kepada objek tersebut dari jauh. Anda juga boleh mencuba dengan cara melihat objek dekat dengan teknik yang sama. Proses ini perlu diulang berkali-kali.
Seterusnya, teknik yang kedua adalah, dengan melihat kepada objek yang berwarna hijau yang berada di luar pejabat mahupun rumah seperti pokok atau permukaan yang berwarna hijau. Hal ini kerana, warna hijau dapat merehatkan dan menenangkan mata.

Langkah ketiga, gerakkan mata ke kanan seboleh yang mungkin, berhenti seketika, kemudian lakukan mata sebelah kiri pula. Seterusnya ke atas, ke bawah dan tengah. Ulangi proses ini beberapa kali.
Pemeriksaan mata secara berkala
Dapatkan pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memastikan tahap penglihatan dan kesihatan mata anda sentiasa berada dalam keadaan baik.

Semasa pemeriksaan dilakukan, titisan mata khas digunakan untuk mengembangkan anak mata, yang membolehkan mereka melihat ke belakang mata dan mengesan sebarang potensi masalah.
Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda seperti mata mulai merah, penglihatan mula kabur, terasa sakit dan terdapat bendasing dalam mata, dinasihati berjumpa dengan doktor segera.
Memakai cermin mata hitam
Cermin mata hitam (sunglasses) bukan sekadar aksesori fesyen, tetapi berfungsi dengan memberikan perlindungan sinaran Ultra Violet (UV) daripada cahaya matahari.
Cermin mata hitam yang baik adalah yang dapat menapis dan memberi perlindungan sebanyak 99-100% UVA dan UVB daripada cahaya matahari. UVA ialah sinar yang menyebabkan penuaan kepada kulit manakala UVB pula ialah sinar yang menyebabkan selaran matahari. Ini kerana, sinaran UV boleh menyebabkan katarak, kanser mata dan berlaku pertumbuhan pada mata, seperti pterygium.
Sentiasa menggunakan pelindung mata mengikut pekerjaan masing-masing
Kecederaan mata boleh berpunca daripada pelbagai aktiviti termasuk tugasan rumah, bermain sukan, atau bekerja dengan peralatan tertentu dalam persekitaran yang berbahaya. Langkah ini, dapat membantu mencegah risiko kecederaan, kerosakan, dan kerengsaan pada mata daripada kesan serpihan dan bahan kimia.
Kurangkan penggunaan skrin
Majoriti setiap daripada kita menggunakan telefon bimbit tidak kira masa. Sedar atau tidak, tabiat itu memberi kesan yang sangat buruk kepada kesihatan mata.
Ini beberapa panduan bagi pengguna komputer dan juga boleh digunakan sebagai panduan ketika membaca buku iaitu:
- Kedudukan skrin komputer sama paras dengan mata dalam keadaan horizontal dan 30 cm daripada mata.
- Pencahayaan yang bersesuai dengan sekeliling iaitu dengan cara skrin komputer separuh lebih malap daripada cahaya lampu yang digunakan di rumah dan pejabat.
- Kurangkan silau dari sumber cahaya boleh terjadi akibat pembalikan cahaya daripada permukaan dinding dan skrin komputer.
- Rehatkan pandangan yang tidak berhenti memfokus lama pada skrin komputer terutamanya otot-otot yang digunakan untuk memandang objek jauh setiap 20 minit.
Berhenti merokok
Seperti anda sedia maklum, merokok sememangnya tidak memberi impak yang positif terhadap kesihatan kita. Gejala merokok ini berisiko tinggi untuk mendapat 40 jenis penyakit serius seperti kanser paru-paru, penyakit jantung, masalah kesuburan, dan masalah penglihatan.

Dari sudut penyakit mata, perokok cenderung mendapat degenerasi makula dan katarak. Degenerasi Makula (AMD) adalah apabila anda hilang keupayaan visual untuk membaca, menulis, memandu dan melihat gambar atau wajah.
Bukan itu sahaja, asap tembakau juga merengsakan mata menyebabkan mata mudah kering.
Sentiasa menjaga kebersihan diri
Sentiasa amalkan amalan mencuci tangan sebelum menyentuh mata atau mengendalikan kanta lekap. Untuk golongan wanita yang sudah terbiasa dengan memakai alat solekan dibahagian mata, segera cuci bersih setiap kali memakai dalam tempoh lama jika tidak mahu terkena jangkitan mata.

Jom sama-sama kita menjaga kesihatan mata sebelum terlambat. Semoga tips ini memberi manfaat kepada para pembaca.