Barcelona Mungkin Anjur Perlumbaan Kemuncak MotoGP 2024 – Dorna Sports
SEPANG, 3 Nov (Bernama) — Perlumbaan terakhir MotoGP musim 2024 kemungkinan diadakan di Barcelona dalam masa terdekat, kata Ketua Pegawai Sukan Dorna Carlos Ezpeleta.
Beliau berkata mereka sedang berbincang dengan kerajaan Catalonia untuk mengadakan perlumbaan terakhir di lokasi berkenaan.
“Sepanjang 48 jam lepas kami melihat semua alternatif, dan pada pendapat kami Barcelona adalah tempat terbaik kerana jaraknya yang berdekatan dengan Valencia.
“Memandangkan ramai orang sudah mengembara ke Valencia melalui Barcelona, terutamanya untuk peminat, kami fikir ia adalah tempat terbaik,” katanya dalam video yang dimuat naik di laman sesawang MotoGP hari ini.
Ezpeleta berharap pengesahan dapat dilakukan dalam tempoh 48 jam.
Perlumbaan terakhir musim ini yang sepatutnya berlangsung di Valencia, Sepanyol pada 15 hingga 17 Nov telah dibatalkan susulan banjir besar yang melanda wilayah berkenaan.
Barcelona sebelum ini pernah menjadi tuan rumah Grand Prix (GP) Catalunya di Litar Catalunya.
Dorna Sports ialah pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP.
BACA: Imbasan CT Tze Liang Normal – Hannah
BACA: Vietti Mendominasi Litar Antarabangsa Sepang Untuk Melakar Kemenangan Ketiga Musim Ini
BACA: MotoGP: Bagnaia Pecahkan Rekod Pusingan SIC, Duduk Petak Pertama
Sumber: BERNAMA