Malaysia Dan New Zealand Perkukuh Kerjasama Dalam Pertanian Dan Keterjaminan Makanan
KUALA LUMPUR, 4 NOVEMBER 2024 – Encik Ray Smith, Ketua Pengarah Kementerian Industri Utama (Ministry for Primary Industries (MPI)), New Zealand telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Menara Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur pada 29 Oktober 2024 sebagai salah satu agenda lawatan kerja beliau ke Malaysia.
Turut hadir ialah PYT Pam Dunn, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia serta delegasi dari MPI dan Suruhanjaya Tinggi New Zealand di Kuala Lumpur.
Perbincangan semasa pertemuan tersebut berkisar sekitar tindakan susulan kepada perkara-perkara berkaitan sektor pertanian yang dibangkitkan semasa Lawatan Rasmi Perdana Menteri New Zealand pada bulan September 2024 yang lalu, khususnya mengenai kerjasama dalam bidang perdagangan pertanian serta keterjaminan makanan. Antara tindakan susulan yang sedang dilaksanakan adalah berkaitan usaha untuk memuktamadkan tatacara pengeksportan nanas ke New Zealand.
Pertemuan sulung kedua-dua pemimpin ini juga membincangkan usaha bagi meningkatkan akses pasaran produk Malaysia ke New Zealand seperti edible bird’s nest, makanan haiwan serta durian segar. YB Timbalan Menteri turut mengalu-alukan cadangan kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan institusi penyelidikan di New Zealand.
New Zealand merupakan salah satu rakan dagang yang aktif bagi Malaysia, dengan jumlah perdagangan pertanian antara kedua-dua negara mencecah RM5 bilion pada tahun lepas.
Hubungan kedua-dua negara dalam sektor pertanian juga turut terjalin melalui kerjasama dua hala dan serantau seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-New Zealand (MNZFTA), Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia New Zealand (AANZFTA), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Hadir sama dalam pertemuan ini ialah YBhg. Dato’ Nor Sam binti Alwi, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian (DOA) serta pegawai-pegawai kanan KPKM.