Siakap Keli
kerabat pahang didakwa
Kredit: Bernama

Lima Lelaki Termasuk Kerabat Pahang Didakwa Cederakan Individu

Lima Lelaki Termasuk Kerabat Pahang Didakwa Cederakan Individu

KUANTAN, 7 November (Bernama) — Lima lelaki termasuk seorang kerabat diraja Pahang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang individu, Jun lepas.

Kelima-lima tertuduh didakwa secara bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian paha kanan lelaki berkenaan dengan pisau.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Alias Awang, 44, dalam kawasan lot tanah bangsal kuda Jalan Teluk Sisek di sini pada 6 Jun, sekitar 12.20 tengah malam.

BACA: Beg Berisi Wang Tunai RM1 Juta Hilang Selepas Proses Kutipan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang Shahrizat Ismail bersama Noor Aishah Mohd Amin dan B. Deevagaran Naidu, manakala tertuduh diwakili peguam Y. Sheelan Samuagam, Datuk K. Santhra, Tee Yuan Sheng, K. Theivaendran dan Mohammed Badrulzzaman Abu Bakar.

Pada prosiding itu, Shahrizat menawarkan jaminan RM10,000 dikenakan terhadap setiap tertuduh, dengan mencadangkan syarat tambahan kesemua mereka melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak menggangu mangsa sehingga kes selesai.

BACA: Penjelasan Pemberian Lesen Laksana 5G Kepada U Mobile Tumpuan Di Dewan Rakyat Hari Ini

Bagaimanapun, peguam Y. Sheelan memohon jaminan minima dikenakan dalam lingkungan RM5,000 terhadap dua anak guamnya yang bekerja sebagai penternak lembu, manakala ada anak guamnya yang merupakan pekerja kontrak dan seorang lagi yang masih ditanggung ibu bapa.

Peguam Mohammed Badrulzzaman pula yang mewakili seorang lagi tertuduh, anggota polis, turut memohon jaminan rendah terhadap anak guamnya yang menyara isteri dan anak yang masih bersekolah.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan membenarkan semua syarat tambahan dicadangkan pendakwaan selain 11 Dis untuk sebutan semula kes.

BACA: Tuntutan Sulu: Mahkamah Agung Perancis Umum Keputusan Bermakna Buat Kedaulatan Malaysia – Azalina

Sebelum ini, media melaporkan seorang pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan mendakwa cedera selepas diserang seorang kerabat diraja dan beberapa individu menggunakan senjata.

Akibat serangan itu, lelaki itu dilaporkan cedera di paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki.

Susulan kejadian itu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menitahkan polis menjalankan siasatan segera, telus dan adil, berhubung dakwaan berkenaan.

Sumber: Bernama

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: