Siakap Keli
Aaron Chia-Soh Wooi Yik Juara Korea Masters
Kredit: BAM via Facebook

Aaron Chia-Soh Wooi Yik Raih Gelaran Juara Korea Masters 2024

Aaron Chia-Soh Wooi Yik Raih Gelaran Juara Korea Masters 2024

Pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama dalam aksi penuh dramatik apabila dinobatkan sebagai juara Kejohanan Badminton Korea Masters di Jeolla sebentar tadi.

Namun, kemenangan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah dicapai apabila pasangan pilihan utama kejohanan berstatus Super 300 itu terpaksa berhempas pulas.

Mereka ditentang hebat oleh pasangan ranking ke-73 dunia, Jin Yong-Kim Won-ho, yang berjaya membawa perlawanan hingga ke set penentuan.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Iksan Gymnasium, Iksan City, pasangan negara di ranking keenam dunia tidak diberikan laluan mudah apabila tewas 21-23 pada set pertama kepada pasangan tuan rumah.

Aaron-Wooi Yik kemudiannya berjaya mengubah momentum permainan dan memenangi set kedua dengan keputusan 21-19.

Di set penentuan, pasangan Jin Yong-Won-ho terus memberi tekanan kepada Aaron-Wooi Yik.

Juara dunia 2022 itu bagaimanapun akhirnya menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-14 selepas 66 minit bertarung.

Kemenangan ini membolehkan Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai AS$16,590 (RM72,701) serta 7,000 mata Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Mereka yang dalam misi memburu tempat ke Jelajah Dunia Akhir (WTF) di China bulan hadapan pasti berasa lega dengan kejayaan ini yang membantu memperbaiki kedudukan dari tempat ke-13 dengan 56,090 mata.

Dengan tambahan 7,000 mata tersebut, mereka berpotensi untuk melonjak ke tangga ke-10 dengan 63,090 mata, bersaing dengan pasangan Indonesia, Sabar Karyaman-Muhammad Reza Pahlevi Isfahani yang berada di kedudukan kesembilan.

Pasangan beregu negara lain, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei kini berada di ranking ketiga (77,400 mata) WTF, manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun di tempat ketujuh (67,840 mata) dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri di tangga ke-12 (57,900 mata).

Untuk info, hanya dua wakil dari setiap negara layak ke WTF dalam kalangan lapan terbaik.

BACA: FIFA Keluarkan 4 ‘Penalti’ Termasuk Denda Terhadap Pasukan Indonesia

BACA: “Pemain kembali, kami akan kembali..” – Pep

BACA: Pemain Mahu Nistelrooy Kekal – Onana

Sumber: Sinar Harian

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.