Siakap Keli
malaysia mesir
Sumber : BERNAMA

Hubungan Ekonomi Malaysia-Mesir Semakin Kukuh, Jana RM4.8 Bilion Potensi Eksport 

Hubungan Ekonomi Malaysia-Mesir Semakin Kukuh, Jana RM4.8 Bilion Potensi Eksport 

Lawatan Rasmi Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim, ke Mesir dari 10 – 12  November 2024 telah berjaya mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Mesir, dan  sekali gus menjana potensi eksport bernilai RM4.8 bilion untuk Malaysia. Beliau turut  diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk  Seri Utama Zafrul Aziz, dan Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Mohamad Hasan. 

Potensi eksport tersebut diraih melalui, antara lain, Mesyuarat Meja Bulat yang disusu oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Wakil-wakil perniagaan  dari kedua-dua negara mempamerkan minat yang mendalam untuk memperkukuhkan  hubungan ekonomi dua hala.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh kira-kira 60 pemimpin  industri dan perniagaan dari 47 syarikat serta persatuan perniagaan utama di Mesir, bersama 40 wakil dari 20 syarikat Malaysia yang menyertai delegasi perniagaan. 

Sepanjang sesi ini, perbincangan produktif antara syarikat-syarikat Malaysia dan Mesir  telah menghasilkan potensi eksport bernilai RM4.8 bilion (USD1.1 bilion), terutama  dalam sektor bernilai tinggi seperti automotif, kimia, oleokimia dan tenaga boleh  baharu. Selain itu, syarikat-syarikat Mesir turut menunjukkan minat untuk meneroka  peluang pelaburan di Malaysia, terutamanya dalam sektor peranti perubatan dan  farmaseutikal. 

Semasa mesyuarat dua hala di antara YB Menteri MITI dengan Menteri Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa Republik Arab Mesir, TYT Hassan El Khatib, kedua-dua  Menteri juga telah bersetuju supaya Jawatankuasa Bersama Perdagangan dan  Pelaburan (Joint Trade and Investment Committee – JTIC) Malaysia-Mesir diaktifkan  semula.

Malaysia bersetuju menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat JTIC Ke-2 pada awal  tahun 2025 dengan penumpuan kolaborasi di dalam sektor semikonduktor, tenaga  boleh baharu, industri halal serta transformasi digital. Di samping itu, kedua-dua  Menteri juga telah bersetuju supaya Malaysian Investment Development Authority (MIDA) dan General Authority for Investment & Free Zones (GAFI) menandatangani memorandum persefahaman bagi memperkukuhkan hubungan serta promosi  pelaburan dua hala Malaysia-Mesir.  

Sebagai langkah strategik memperkukuh sokongan kepada pengeksport Malaysia untuk meneroka potensi besar di pasaran Afrika Utara dan negara-negara Arab, Pejabat  Perdagangan MATRADE di Kaherah, Mesir juga telah dinaik taraf sepenuhnya pada  Januari 2024, bagi meningkatkan perkhidmatan akses pasaran dan rundingan eksport. 

Dalam usaha memacu pertumbuhan eksport Malaysia, PROTON telah pun mengambil  langkah strategik untuk memasuki pasaran Mesir dengan pembukaan kilang  pemasangan tempatan. Langkah ini bukan sahaja akan memanfaatkan potensi pasaran  automotif Mesir yang berkembang pesat tetapi juga mengukuhkan kehadiran PROTON  di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara.

Aktiviti pemasangan telah bermula dengan penghantaran pertama kenderaan Completely Knocked Down (CKD) PROTON pada  September 2024. Jualan dijangka bermula pada Januari 2025, dengan sasaran sebanyak  16,000 unit antara 2024 hingga 2026. 

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Mesir bagi tempoh Januari hingga  September 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak 21.4% kepada RM3.0 bilion  (USD648.0 juta), berbanding RM2.4 bilion (USD545.5 juta) bagi tempoh yang sama pada  2023. Tahun lepas, Mesir merupakan rakan dagang ke-5 terbesar Malaysia dikalangan  negara-negara Afrika. 

Tengku Zafrul berkata, “Dengan potensi eksport sebanyak RM4.8 bilion dari Malaysia, serta pelbagai inisiatif lain untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Mesir, MITI yakin hubungan dua hala ini akan terus berkembang, sekali gus memberikan impak positif kepada ekonomi dan pencapaian objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) menjelang 2030. MITI serta agensinya akan  mengambil tindakan susulan bagi memastikan kesemua inisiatif yang dipersetujui akan dilaksanakan dengan kadar segera.” 

Nurul Naqiyah