PRABN Keluar Ramalan Awal Kemungkinan Banjir Di Negeri Pantai Timur & Johor
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) mengeluarkan ramalan awal kemungkinan berlaku banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang serta negeri Johor bermula minggu hadapan.
Menerusi hebahan yang dimuat naik di laman Facebook Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) pada Khamis, bencana tersebut dijangka bermula pada 18 November hingga 21 November 2024.
“Diramalkan banjir berkemungkinan akan berlaku di daerah persisiran pantai Negeri Kelantan, Pahang dan Johor (Timur) dan keseluruhan Negeri Terengganu bermula 18 November hingga 21 November 2024,” maklum PRABN.
BACA: Monsun Timur Laut Bermula 5 November Ini
Sementara itu, Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat memaklumkan tiga daerah di Terengganu bakal terjejas berikutan keadaan tersebut iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
Menurut Sinar Harian, Hanafiah turut menasihati penduduk di kawasan pesisir pantai serta lokasi berisiko supaya lebih berwaspada dengan sebarang perubahan cuaca dan peningkatan paras air sungai di kawasan masing-masing.
“Ramalan ini bergantung kepada cuaca hujan dan air pasang, jika berlaku hujan lebat bersama air pasang pada 18 November (Isnin) itu, kemungkinan besar akan berlaku banjir di Terengganu.
“Setakat ini tiga daerah menjadi tumpuan iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman. Jadi penduduk terutama yang tinggal di kawasan pesisir pantai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati,” ujarnya.
BACA: Banjir: Orang Ramai Diminta Ambil Langkah Keselamatan Elektrik Dan Gas
Walau bagaimanapun, beliau turut berkata keadaan ini hanya ramalan dengan kemungkinan besar kawasan lain turut berisiko dilanda banjir.
“Apapun ia hanya ramalan, mungkin ia (banjir) akan pergi ke Permaisuri di Setiu dahulu atau ke kawasan-kawasan yang kita tidak jangka.
“Walaupun begitu, semua pusat pemindahan sementara (PPS) dan setiap agensi telah bersiap siaga untuk menghadapi bencana banjir. Bekalan makanan juga telah pun dihantar dan berada di setiap pangkalan hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bakal mengakibatkan tujuh gelombang banjir berlaku di Terengganu.
“Persiapan rapi amat diperlukan untuk menghadapi MTL kali ini. Kita juga menyarankan supaya penduduk setempat supaya mengadakan sembahyang hajat agar tidak berlaku bencana banjir besar.
“Penduduk kampung di kawasan berisiko diminta turut membuat persiapan untuk berpindah sekiranya kawasan itu berisiko dinaiki air
“Mereka juga perlu segera berpindah ke kawasan selamat sekiranya diminta untuk berbuat demikian oleh pihak berkuasa,” tegasnya.
BACA: Ini Cara Kumpul RM12k Dalam 2 Tahun, Sedar-Sedar Duit Dah Cukup
https://www.facebook.com/jpsmalaysiaofficial/posts/pfbid02xF8xGockKQHapRdqAbRrCCp1k7z41AQd6REUA5zfXzLquXHrZi7ZmWu5xJ6ATFiUl
Sumber: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Sinar Harian