Jake Paul Tewaskan Mike Tyson
Amerika Syarikat – Pertembungan yang dinanti menyaksikan bekas peninju profesional, Mike Tyson, 58, tunduk kepada Jake Paul, 27, dengan keputusan sebulat suara dari ketiga-tiga juri.
Mendahului di pusingan pertama, Tyson lebih tenang menghadapi serangan Paul dengan pusingan kedua lebih banyak acahan dari kedua belah pihak. Mula mengejar, Paul menamatkan pusingan ketiga dengan 10-9.
Terus agresif, tumbukan Paul jelas mengena rusuk pihak lawan dan membuka peluang kemenangan berpihak padanya dalam pusingan keempat. Mengekalkan mata 10-9 dalam pusingan kelima, Paul semakin agresif di pusingan keenam dengan beberapa serangan akhir dari Tyson.
BACA: 10 Bayi Baru Lahir Maut Dalam Kebakaran Di Hospital
Pusingan ketujuh melihat satu lagi tumbukan Paul mengena rusuk lawan dan mengekalkan momentum bagi merebut kemenangan di pusingan kelapan. Perlawanan ditamatkan dengan jumlah kutipan mata Paul, 79 manakala Tyson, 73. Keputusan ini menjadi rekod terbesar buat Paul yang baru memulakan perjalanannya dalam dunia tinju kurang dari lima tahun.
Di akhir perlawanan, Paul memberikan tunduk hormat kepada Tyson sebagai tanda penghormatan buat ikon dunia tinju itu.
Youtuber bertukar peninju, Paul hanya menghadapi satu kekalahan dari keseluruhan 11 perlawanannya sebelum ini.
“Saya memandang tinggi Mike, saya terinspirasi daripada dia. Kita tak mungkin ada di sini hari ini tanpa dia.
“Dia satu ikon dan menjadi satu penghormatan dapat berlawan dengannya. Sudah jelas dia manusia yang paling kuat dalam planet ni. Ia memang perlawanan yang sukar seperti yang saya jangkakan,” ucapnya selepas kemenangan diumumkan.
BACA: Pasukan MLBB Malaysia Muncul Juara Dunia
Selepas 19 tahun bersara, Tyson kembali menjejakkan kaki ke gelanggang buat pertama kalinya dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium AT&T, Texas hari ini. Perlawanan lapan pusingan ini menunjukkan kembali bisa tumbukan Tyson yang pernah menggetarkan kategori heavyweight pada 1980-an.
Dengan kekalahan ini, rekod keseluruhan perlawanan Tyson bertukar kepada 50-7 dari 50-6 sebelum ini.
Pertembungan yang sepatutnya dijadualkan pada Julai lalu ditunda ke hari ini berikutan masalah kesihatan yang dihadapi Tyson ketika penerbangan dari Miami ke Los Angeles.
Biarpun terdapat kebimbangan terhadap kesihatannya, Tyson masih meneruskan keputusan bertemu Jake dengan menganggap kritikan yang diterima bersifat iri hati.
“Ketika saya bersetuju untuk berlawan dan mulakan latihan, saya terfikir apa yang saya fikirkan? Tapi saya sudah tamatkan proses itu. Perlawanan itu nanti sebagai parti. Semua kerja keras telah selesai,” ujarnya.
BACA: Ini Cara Kumpul RM12k Dalam 2 Tahun, Sedar-Sedar Duit Dah Cukup
Sumber: AFP, ESPN