Perkongsian Isteri Adam Corrie Mengenai ‘Soalan’ Tentang Anak Tarik Perhatian Ramai
Jodoh dan zuriat sering menjadi topik sensitif yang sukar dielakkan, lebih-lebih lagi dalam budaya masyarakat kita.
Walaupun ada individu yang memilih untuk tidak berkongsi kisah peribadi mereka, soalan seperti “Bila nak kahwin?” atau “Bila nak dapat anak?” tetap juga diajukan.
Begitu jugalah pengalaman yang dihadapi oleh isteri kepada pelakon terkenal Adam Corrie, Fazima Mohd Fuad.
Baru-baru ini, perkongsian Fazima mengenai soalan tentang anak yang tidak pernah berhenti diajukan, menarik perhatian warga maya.
Ini tetap ‘berlanjutan’ meski beliau dan suami telahpun dikurniakan seorang cahaya mata lelaki selepas menanti selama 10 tahun.

Menurut Fazima, perkara ini timbul lagi menerusi satu perbualan antara suaminya dan seorang lelaki.
Semalam.. satu kumpulan tanya cik suami sambil pandang Fateh.
A (lelaki): Wah berapa umur anak? Berapa orang dah anak?
Suami: Alhamdulillah seorang je.
A: Sorang je.. sikitnya
“Saya terus menyelit ‘Alhamdulillah saya ada 8 orang anak, 7 Allah simpan. Seorang ni yang sanggup teman kami di dunia’.
“Memang apabila melibatkan bab anak memang kadang-kadang terasa. Tapi saya faham.. budaya orang kita suka bertanya bila nak ada nak.. sikitnya anak.. bila nak kahwin.. itu memang hakikat.
“Sekarang tengah hangat kisah JN meluahkan rasa sedih apabila netizen mempersoalkan mereka suami isteri tiada zuriat,” katanya.
Setiap orang mempunyai jalan hidup berbeza
Fazima yang lebih mesra disapa sebagai Fazi turut menegaskan bahawa setiap individu mempunyai perjalanan hidup yang berbeza.
Sebagai seseorang yang pernah melalui situasi yang sama, beliau amat memahami perasaan wanita lain yang berdepan dengan cabaran serupa.
“Bagi saya setiap pasangan suami isteri memang ingin mempunyai zuriat. Tetapi setiap perjalanan kita semua tak sama. Ada yang mudah dan cepat dapat zuriat, ada yang perlu lalui pelbagai ujian, baru dapat anak.. Ada yang dah usaha tapi belum lagi Allah izinkan lagi pada waktu ini.. Insya-Allah.
“Orang sekeliling tak tahu yang kita sebenarnya berusaha mendapatkan anak. Tak kan nak cerita setiap usaha-usaha untuk mendapatkan zuriat. Dari cara tradisional hinggalah ke cara yang moden.
“Duit tak usah cakap.. sampai berpuluh puluh ribu keluar untuk usaha dapatkan zuriat.
“Saya faham perasaan puan-puan yang masih berusaha dapatkan zuriat.
“Kadang-kadang sedih tengok kawan-kawan dah anak ramai, tapi kita masih tiada lagi,” jelasnya.
Syukur dalam semua keadaan, kita takkan rasa kurang dalam hidup
Dalam pada itu, Fazi turut menasihati agar tidak terlalu bersedih dengan ujian seperti ini, sebaliknya memanfaatkan masa yang ada untuk mencurahkan kasih sayang sepenuhnya kepada pasangan.

Ujarnya, itulah yang dilakukannya sebelum dikurniakan cahaya mata.
Dalam masa yang sama, teruslah berusaha dan sentiasa berdoa kepada-Nya dengan penuh keikhlasan.
“Saya dulu pon selalu sedih juga dulu, tp saya cuba kawal perasaan tu. Sebab saya percaya bila tiba masanya pasti ALLAH berikan pada kita.
“Jangan sedih, bercintalah dan berbulan madulah dengan suami sepuas-puasnya.
“Itu yang saya buat, saya tumpahkan rasa cinta dan sentiasa semarakkan rasa berbulan madu dengan suami. Belajar mengenali suami sebaik mungkin. Bermanja selalu dengan suami.
“Apabila kita sudah usaha, doa & tawakal, dan Allah makbul doa kita dengan diberikan zuriat. Ketika itu masa kita sudah lebih tertumpu pada anak kita.

“Nak keluar tengok wayang berdua-duaan dah kena tunda hingga anak besar. Nak tidur berkepit dah susah sikit, kerana anak tidur ditengah-tengah kita. Kita lebih peluk anak, suami sudah kurang.
“Dah ada anak kecil, kita kurang rehat, tidur tak cukup. Masa tiada anak ni, tidurlah puas-puas bersaam suami dengan tenang.
“Seperti saya katakan, ada anak adalah rezeki dan hibah yang tak ternilai. Tiada anak juga rezeki dan hibah tak nilai pengalamannya ketika berdua.
“Syukur dalam semua keadaan. Insya-Allah kita takkan rasa kurang dalam hidup ini,” tambahnya.
BACA: Remaja Lelaki Jaga Ibu Strok Di Wad Raih Doa Ramai
BACA: Wanita Kongsi Gelagat Suami Bila ‘Demam’ Buat Ramai Terhibur
BACA: Hanya Kerana ‘Content’ Di Media Sosial, Perawat Kongsi Mangsa Sihir ‘Tewas’ Meski Hampir Sembuh
Sumber: Sinar Plus
“Saya ada 8 orang anak, 7 Allah simpan,” – Isteri Adam Corrie