Pengguna Jalan Raya Terkandas Lebih Satu Jam Sebab Gajah ‘Main’ Tengah Jalan
Pengguna jalan raya di Tasik Banding, Perak ‘terkandas’ lebih satu jam dipercayai gara-gara 30 ekor gajah ‘bermain’ dan tidur di tengah jalan.
Insiden yang berlaku pada awal pagi Jumaat lalu sekitar jam 3 pagi tersebut dikongsikan oleh seorang pemandu lori, Mohd Hisham Yazid, 38, menerusi akaun TikTok miliknya.
@isemaju #syppppppppppppppppppppppppp 1 DUNIA
Menurut Mohd Hisham, dia kerap berhadapan dengan insiden haiwan liar itu mengganggu lalu lintas.
Bagaimanapun, jumlahnya yang begitu banyak seperti kejadian terbaharu tersebut adalah sesuatu yang jarang berlaku.
“Sebagai seorang pemandu lori yang sering menggunakan jalan ini sebagai laluan utama, ia bukan kejadian pelik atau menggerunkan.
“Ini kerana, saya boleh katakan setiap minggu pasti ‘terserempak’ dengan gajah yang mengganggu lalu lintas di Tasik Banding,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Tip penting jika ‘terserempak’ gajah
Dalam video berdurasi 53 saat yang dimuat naik, kelihatan seekor gajah menghampiri sebuah kereta.
Menurut Mohd Hisham, tindakan gajah tersebut berlaku kerana pemandu kereta itu tidak mematikan lampu.
Cahaya lampu kenderaan menarik perhatian gajah, membuatkan ia menghampiri dan ‘bermain’ dengan kereta tersebut.
“Kalau terserempak dengan gajah ketika melalui mana-mana kawasan (waktu malam), perlu perlahankan dan mematikan lampu kenderaan.
“Bukan itu sahaja, jangan sesekali keluar kereta atau menonjolkan diri. Itu sahaja tip untuk mengurangkan risiko daripada diserang haiwan liar berkenaan,” ujarnya.
Tambah Mohd Hisham, pengguna jalan raya perlu lebih berwaspada sekiranya terserempak gajah yang bersama anaknya, kerana ia lebih cenderung bertindak agresif jika merasa terancam.
BACA: Wanita Kongsi Video Sambutan Hari Lahir Abah, Bikin Warga Maya Sebak
BACA: Remaja Lelaki Jaga Ibu Strok Di Wad Raih Doa Ramai
BACA: Orang Kampung ‘Raikan’ Peserta Maraton, Tarik Perhatian Warga Maya
Sumber: TikTok @isemaju, Sinar Harian