Siakap Keli
industri semikonduktor
Sumber : BERNAMA

Malaysia-Brazil Rangkul Peluang Kukuhkan Hubungan Ekonomi Dalam Industri Semikonduktor

Malaysia-Brazil Rangkul Peluang Kukuhkan Hubungan Ekonomi Dalam Industri Semikonduktor

Lawatan Kerja YAB Perdana Menteri ke Brazil dari 16 – 19 November 2024 telah berjaya menjana potensi eksport sebanyak RM6.8 bilion (USD1.57 bilion) bagi tempoh tiga  hingga lima tahun akan datang. Ini menunjukkan peluang perdagangan yang besar,  khususnya dalam sektor-sektor bernilai tinggi yang digariskan di bawah Pelan Induk  Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030. 

Potensi eksport tersebut diraih melalui sebuah Mesyuarat Meja Bulat yang dianjurkan  oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan Pemimpin  Industri Brazil. Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh 58 pemimpin industri dan  perniagaan dari 28 syarikat terkemuka dan persatuan perniagaan dari Brazil. Mesyuarat  ini dianjurkan bersempena dengan penyertaan YAB Perdana Menteri di Persidangan G20 yang berlangsung di Rio de Janeiro dari 18 hingga 20 November 2024. 

Mesyuarat Meja Bulat tersebut turut dihadiri oleh 48 wakil dari 19 syarikat, Agensi dan persatuan industri dari Malaysia, merangkumi pelbagai industri dan sektor perkhidmatan bernilai tinggi termasuk Minyak & Gas, Aeroangkasa, Peranti Perubatan  & Penjagaan Kesihatan, Semikonduktor, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT),  Perkhidmatan R&D Industri 4.0, Kimia, Perlombongan, Industri Halal, dan Minyak  Sayuran & Lemak Masak. 

MITI juga telah menganjurkan mesyuarat bagi mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala di antara Malaysia dan Brazil, khususnya dalam industri semikonduktor, lanjutan  persetujuan yang dicapai oleh YAB Perdana Menteri dan TYT Presiden Brazil untuk  menjalin kerjasama dalam industri ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri sendiri ini turut dihadiri oleh  MIMOS Berhad, Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Persatuan Industri Elektrik  dan Elektronik Brazil, Persatuan Industri Semikonduktor Brazil dan Institut Eldorado  Brazil. Mesyuarat tersebut telah menggariskan kepentingan untuk meningkatkan  kerjasama dalam rekaan, pembuatan dan pembangunan bakat dalam industri  semikonduktor. 

Dua (2) Memorandum Persefahaman (MOU) berkaitan kerjasama dalam industri  semikonduktor telah turut dimeterai, masing-masing di antara MIMOS Berhad dan  Institut Eldorado Brazil; serta di antara Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia,  Persatuan Industri Elektrik dan Elektronik Brazil dan Persatuan Industri Semikonduktor  Brazil. 

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Brazil bagi tempoh Januari hingga  September 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak 19.8% kepada RM14.83 bilion  (USD3.2 bilion), berbanding RM12.38 bilion (USD2.74 billion) bagi tempoh yang sama  pada 2023. Tahun lepas, Brazil merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di  kalangan negara-negara Amerika Latin.

Sebanyak RM8.64 billion (USD2.73 billion)  pelaburan dari Brazil telah direkodkan merangkumi sektor pembuatan makanan, produk  getah, peralatan pengangkutan dan hab pengedaran global. Syarikat-syarikat Malaysia  seperti PETRONAS, Yinson dan Sapura turut melabur di Brazil dalam sektor tenaga dan  minyak & gas dengan jumlah pelaburan melebihi USD15 billion. 

MITI yakin bahawa hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Brazil akan terus berkembang, mengambil kira peluang-peluang yang ditawarkan melalui  NIMP 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional (National Semiconductor Strategy – NSS). 

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.