Siakap Keli
Kredit: Bernama

Dua Kanak-kanak Maut, Lemas Ketika Mandi Kolam

Dua Kanak-kanak Maut, Lemas Ketika Mandi Kolam

Dua kanak-kanak berusia tujuh tahun dilaporkan mati lemas selepas jasad mereka ditemukan di dasar kolam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurut Sinar Harian, kejadian berkenaan berlaku ketika kedua-dua mangsa mandi mandi di sebuah kolam di Kampung Rungus Nahaba, Tamparuli kira-kira jam 5 petang pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.04 petang.

Sepasukan anggota kemudian telah digerakkan menuju ke lokasi kejadian tersebut.

“Sebaik tiba, kedua-dua mangsa telah dibawa ke rumah oleh ahli keluarga masing-masing dan hasil siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsanya mandi di kolam tersebut bersama seorang lagi kanak-kanak berusia lima tahun iaitu adik kepada salah seorang mangsa lemas.

“Selepas kedua-dua mangsa lemas, kanak-kanak tersebut balik ke rumah sejauh kira-kira satu kilometer dan memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.

Kes disiasat sebagai laporan mati mengejut

Tambah Noraidin, beberapa penduduk kampung kemudian menemani keluarga mangsa yang bergegas ke lokasi kejadian.

“Kedua-dua mangsa berjaya ditemui di dasar kolam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pihak ambulan dari Hospital Tuaran tiba di lokasi dan doktor kemudian mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia.

“Pemeriksaan pada tubuh badan mereka juga tidak menemui sebarang kecederaan luaran,” katanya lagi.

Susulan kejadian itu, beliau memaklumkan ahli keluarga mangsa telah tampil ke Balai Polis Tamparuli untuk membuat laporan polis.

Pihaknya kini menyiasat kes tersebut sebagai laporan mati mengejut.

Ibu bapa perlu peka terhadap pergerakan anak masing-masing

Menurut Sinar Harian, kedua-dua mangsa merupakan murid Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Rungus Nahaba.

Noraidin turut menegaskan bagi mengelak daripada insiden yang menyedihkan ini berulang, ibu bapa perlu peka terhadap pergerakan anak masing-masing.

“Saya menggesa agar ibu bapa sentiasa peka terhadap pergerakan anak masing-masing dan melarang mereka bermain berhampiran kolam, takungan air atau sungai serta di kawasan yang berbahaya, terutama di musim tengkujuh ini.

“Selain itu, saya juga ingin menggesa semua pihak yang ada membina kolam atau apa-apa bentuk takungan air di kawasan masing-masing agar memasang pagar keselamatan serta tanda amaran sebagai peringatan,” ujarnya.

BACA: Pesawat Kargo Terhempas Ketika Mahu Mendarat, Terkena Rumah

Sumber: Sinar Harian

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.