Siakap Keli
eSP Januari 2025
Gambar: BERNAMA

Jabatan Imigresen Perkenal eSP Mulai Januari 2025 – Saifuddin Nasution

Jabatan Imigresen Perkenal eSP Mulai Januari 2025 – Saifuddin Nasution

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bakal memperkenalkan pas khas dalam talian (eSP) bermula Januari 2025 dalam menyokong usaha transformasi penyampaian perkhidmatan ke arah pendigitalan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan bahawa eSP adalah dokumen khas yang dikeluarkan kepada warga asing.

Dokumen ini memberikan kebenaran kepada pemegangnya untuk memasuki dan menetap di Malaysia selama tempoh maksimum 30 hari, selaras dengan Peraturan 14 di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Pada tahun 2023, sebanyak 139,344 pas khas telah dikeluarkan, manakala setakat Oktober tahun ini, sebanyak 119,019 pas khas telah dikeluarkan kepada warga asing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, proses permohonan dan pengeluaran pas khas masih dilakukan secara manual, di mana pemohon perlu hadir sendiri ke kaunter dan menyerahkan dokumen dalam bentuk fizikal.

“Memandangkan 50 peratus warga asing yang hadir ke pejabat JIM adalah untuk urusan menyelaras keberadaan di Malaysia, hal ini telah menyebabkan kesesakan di Bahagian Visa, Pas dan Permit.

“Pelaksanaan eSP ini akan membantu mengurangkan kesesakan pelanggan yang hadir berurusan di kaunter serta menerapkan budaya kerja baharu,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pada Isnin.

BACA: Festival Anak Sarawak Dan Temasya Kueh Malaysia

Tambah beliau, eSP adalah platform dalam talian yang diperkenalkan untuk memudahkan permohonan pas khas.

Ia bertujuan menguruskan keberadaan pemegang Pas Lawatan Sosial (PLS) Jangka Panjang dan Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) yang masih sah.

“Mana-mana warganegara asing yang sedang menunggu keputusan untuk permohonan baharu atau lanjutan pertukaran PLS Jangka Panjang dan PLIK atau yang mengalami masalah seperti sakit, kemalangan jalan raya, bencana alam, berada di dalam situasi yang di luar kawalan pemohon serta lain-lain sebab yang difikirkan wajar dan munasabah boleh memohon kemudahan eSP ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa aspek keselamatan dan ketelusan tidak diabaikan meski proses permohonan dilakukan secara dalam talian.

“Pemohon perlu memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan mengikut dasar semasa yang berkuatkuasa.

“Mereka dikehendaki memuat naik dokumen sokongan yang diperlukan untuk menyokong permohonan eSP mereka sebelum disemak dengan teliti oleh pegawai bagi memastikan hanya mereka benar-benar layak akan diberikan kemudahan eSP.

“Pemohon yang tidak memenuhi syarat kelayakan atau tidak diluluskan, akan diarahkan untuk hadir ke pejabat JIM terdekat bagi pemeriksaan lanjut dan penjelasan berhubung status permohonan mereka,” katanya lagi.

BACA: Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri Ketiga Bincang Topik Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025

Dalam perkembangan lain, Saifuddin turut memaklumkan tentang pengemaskinian Skim Perkhidmatan Imigresen (KP).

Ini termasuklah kenaikan gred jawatan Ketua Pengarah JIM daripada Gred 54 kepada Jusa B, yang kini dalam peringkat akhir.

“Ia diikuti dengan gred-gred yang lain seperti Jusa C. Begitu juga bilangan perjawatan bagi skim KP ini akan diperluaskan kepada jawatan strategik lain seperti jawatan pengarah negeri, pengarah bahagian dan Atase Imigresen,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga sedang mengusahakan permohonan bagi perjawatan baharu yang melibatkan pelbagai gred dan skim.

Langkah ini bertujuan untuk memenuhi keperluan di kaunter perkhidmatan, pintu masuk serta lokasi-lokasi lain yang berkaitan.

“Skim Bersepadu Imigresen dengan menggabungkan Skim Perkhidmatan Imigresen dan Skim Bersepadu Penolong Penguasa Imigresen serta Penguasa Imigresen dicadangkan untuk diwujudkan.

“Cadangan penambahbaikan ini adalah selaras dengan saranan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengatasi masalah integriti dan meningkatkan penyeliaan.

“Apabila ada ruang kerjaya lebih baik, motivasi diri akan meningkat dan secara tidak langsung mewujudkan keadaan keseronokan dalam bekerja, sekali gus akan memberi khidmat terbaik,” katanya.

BACA: Pusat Sains Satelit, MOSTI Inisiatif Kerajaan Dekatkan Masyarakat Kepada Pendidikan STEM

Sumber: Sinar Harian

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.