Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

85 Peratus Penjawat Awam Telah Tandatangan Opsyen SSPA – KSN

Azizah Najib
tandatangan sspa
Kredit: Bernama

85 Peratus Penjawat Awam Telah Tandatangan Opsyen SSPA – KSN

PUTRAJAYA, 26 November (Bernama) — Sebanyak 85 peratus daripada 1.4 juta penjawat awam telah menandatangani opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) setakat ini, menjelang pelaksanaan sistem itu yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Dis ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang memperkasakan sesi penerangan untuk memastikan baki 15 peratus lagi penjawat awam memilih opsyen berkenaan.

“Dari segi peratusan, 85 peratus sudah setuju menandatangani SSPA. Yang baki (15 peratus), saya difahamkan JPA akan ‘all out’ buat penerangan sebab ada yang masih tidak jelas. Ini disebabkan mereka terima maklumat tidak tepat yang diperoleh di media sosial,” katanya.

BACA: Payung Pantai Lebih Cantik Dan Tersusun Di Telok Kemang Bermula 16 Disember

Shamsul Azri berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Taat Setia Reformasi Penjawat Awam’ pada Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI: Taat Setia anjuran Akademi Kenegaraan (AKM) di sini hari ini.

Pada 13 September lepas, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilaporkan berkata penjawat awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari bermula 21 Oktober hingga 30 November ini untuk memilih sama ada SSPA atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM), sebelum ia berkuat kuasa 1 Disember ini.

Susulan itu, Shamsul Azri menasihatkan penjawat awam yang masih keliru mengenai manfaat SSPA agar tidak sewenang-wenangnya menerima maklumat yang diperoleh dari media sosial sebaliknya membuat rujukan dengan JPA.

“Allah berfirman dalam surah al-Fatihah ‘ikutlah jalan yang lurus’. Sebab apa yang perkenal SSPA adalah JPA, maka rujuklah kepada JPA, dengarlah nasihat mereka, dan ikutlah sesi libat urus yang dijalankan oleh JPA,” katanya.

BACA: Lelaki Didakwa Bunuh Ibu, Simpan Dalam Peti Sejuk

Beliau mahu JPA dijadikan sebagai sumber rujukan yang sahih bagi kesemua penjawat awam di negara ini. Ia bagi mengelak sebarang kekeliruan yang boleh menghalang mereka daripada membuat pilihan yang tepat berkaitan opsyen SSPA.

“Jangan hanya dengar kata-kata kawan di media sosial. Kadang-kadang mereka bukan kerja dengan kerajaan. Jadi bagaimana mereka boleh faham dan memberi nasihat mengenai SSPA,” katanya.

Pada 12 November lepas, kerajaan mengambil inisiatif mewujudkan Pusat Panggilan Setempat (PPS) SSPA sebagai platform untuk memberi penjelasan tepat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan penjawat awam berhubung sistem saraan baharu itu.

Sejak pengenalan SSPA melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2024 pada 13 September lepas, sebanyak 54 sesi libat urus telah dilaksanakan untuk memberikan penerangan mengenai sistem saraan itu.

Pengenalan SSPA adalah sebahagian daripada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang lebih besar. Ia bertujuan untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan awam selain membantu mengurangkan kos sara hidup bagi pegawai awam.

Sistem saraan baharu ini dibangunkan sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kecekapan sektor awam, selaras dengan dasar Malaysia MADANI.

BACA: Amaran Hujan Berterusan Tahap Bahaya Di Dua Negeri

Sumber: Bernama