Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Populasi Dugong Di Teluk Carpentaria Susut 50 Peratus

susut 50 peratus
Kredit: CNN

Penyelidik Australia merekodkan penurunan kira-kira 50 peratus populasi dugong di Teluk Carpentaria, antara kawasan yang mempunyai populasi spesies berkenaan paling penting di dunia, lapor Australian Broadcasting Corporation (ABC).

Populasi Dugong di Teluk Carpentaria susut 50 peratus

Mamalia marin itu diklasifikasikan sebagai spesies terdedah dalam senarai spesies terancam agensi pemuliharaan antarabangsa.

Penyelidik James Cook University (JCU), Chris Cleguer, berkata tinjauan udara yang dijalankan pasukannya di teluk berkenaan pada 2025 dengan kerjasama saintis Charles Darwin University (CDU) serta kumpulan renjer Orang Asli, menunjukkan penurunan membimbangkan terhadap jumlah dugong.

Beliau berkata pada 2007, populasi dugong di seluruh teluk itu dianggarkan sekitar 10,000 ekor, namun jumlah berkenaan susut kepada kira-kira 5,000 ekor pada 2025.

Berdasarkan kiraan langsung, sebanyak 305 dugong direkodkan pada 2025 berbanding 471 ekor pada 2007.

Menurut Cleguer, perubahan paling ketara berlaku di perairan Queensland apabila hanya 63 dugong direkodkan pada 2025 berbanding 231 ekor pada 2007.

Bagaimanapun, beliau berkata jarak 18 tahun antara kedua-dua tinjauan menyukarkan penyelidik menentukan pola penurunan populasi atau punca sebenar perubahan berkenaan.

“Analisis masih dijalankan dan kami masih perlu menambah lebih banyak data. Namun, jumlah itu amat membimbangkan,” katanya.

Para penyelidik memberi amaran bahawa populasi dugong mungkin mengambil masa yang sangat lama untuk pulih.

Saintis marin CDU, Rachel Groom, berkata perkara itu amat membimbangkan kerana dugong merupakan haiwan yang mempunyai jangka hayat panjang, selain mengambil masa lama untuk membiak dan mencapai kematangan.

“Penurunan populasi seperti ini mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk dipulihkan,” katanya.

Walaupun saintis masih belum dapat mengenal pasti punca perubahan jumlah populasi itu, mereka turut merekodkan penurunan besar kawasan padang lamun yang menjadi sumber makanan utama dugong sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Penyelidik turut mengesyaki aktiviti perikanan komersial menggunakan jaring insang sebagai antara faktor yang menyumbang kepada penurunan populasi dugong.

Queensland dan Northern Territory telah menghentikan aktiviti perikanan menggunakan jaring insang di beberapa kawasan di Teluk Carpentaria, manakala Northern Territory berjanji untuk melaksanakan larangan berkenaan sepenuhnya menjelang akhir tahun depan.

Intipati
  • Populasi dugong Teluk Carpentaria dianggarkan susut kira-kira 50 peratus sejak 2007.
  • Kiraan langsung merekodkan 305 dugong pada 2025, berbanding 471 ekor pada 2007.
  • Saintis masih meneliti punca, termasuk penurunan padang lamun dan disyaki kesan jaring insang.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan