Siakap Keli
Teori Internet Mati
Kredit: blackbox.ai

Kenali “Death Internet Theory”, Dakwa AI & Bot Kini Kuasai Internet Ganti Manusia

Kenali “Death Internet Theory”, Dakwa AI & Bot Kini Kuasai Internet Ganti Manusia

Setiap hari, kita disajikan dengan pelbagai penemuan hebat yang menjadi pemangkin kepada kemajuan pesat teknologi.

Salah satunya adalah kemunculan kecerdasan buatan (AI) yang menjanjikan cara baharu untuk menggunakan internet kepada manusia.

Dengan adanya AI, proses mencari atau mendapatkan maklumat menjadi semakin pantas dan mudah.

Malah, pengetahuan-pengetahuan rumit yang dahulunya perlu dituntut di universiti, seperti pengekodan dan sebagainya boleh dipelajari sesiapa sahaja dengan hanya menggunakan AI.

Pada masa yang sama, AI juga didapati membantu manusia menghasilkan pelbagai kandungan kreatif seperti gambar atau lukisan, artikel, video dan sebagainya.

AI & bot kuasai internet, ganti manusia

Namun begitu, kandungan yang dihasilkan AI telah mula menjadi perdebatan sejak kebelakangan ini.

Antara yang dibangkitkan adalah bagaimana mahu menentukan kandungan kreatif yang diakses di internet adalah asli daripada manusia atau janaan AI.

Selain itu, ramai juga yang curiga dan mendakwa lambakan kandungan AI serta bot akan menyebabkan manusia semakin hilang pengaruh dalam dunia internet.

Situasi-situasi tersebut dan banyak pertanyaan yang dibangkitkan kemudian menjurus kepada kemunculan satu teori, iaitu The Death Internet Theory.

Jadi, kali ini kami di SK ingin berkongsi dengan anda penjelasan Death Internet Theory (Teori Kematian Internet) yang sedang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

Teori ini muncul selepas ruang siber dipercayai sudah lama ‘mati’

Menurut Forbes, Teori Kematian Internet dipercayai muncul sekitar 2010 dan berlegar di 4Chan.  Namun begitu, tiada yang tahu siapakah yang bertanggungjawab menggagaskan teori berkenaan.

Ia muncul selepas timbul kepercayaan bahawa majoriti trafik, akaun pengguna dan hantaran di internet sebenarnya sudah digantikan dengan bot atau kandungan dijana AI.

Malah, mereka yang percaya dengan teori ini juga menganggap bahawa manusia pada hari ini sudah kehilangan kuasanya dalam menentukan hala tuju dunia internet.

Secara ringkasnya mereka mendakwa, kandungan yang dihasilkan oleh bot dan dijana dengan AI mengatasi kandungan-kandungan dihasilkan manusia.

Kandungan-kandungan yang dihasilkan oleh AI itu pula dikatakan hanya mahu mendapatkan engagement seperti klik, tanda suka dan komen yang tinggi semata-mata.

Pada masa yang sama, engagement yang diterima pada hantaran yang dijana AI ini juga didakwa hadir daripada interaksi-interaksi oleh bot yang dikawal oleh AI sendiri.

Muncul semula lewat 2021 selepas dibincangkan dalam forum

Bagaimanapun, ia menjadi topik perbualan hangat semula selepas dibincangkan oleh seorang pengguna internet dari Amerika Syarikat dalam satu forum atas talian pada 2021.

Individu tersebut mendakwa, kewujudan AI pada hari ini berjaya menenggelamkan aktiviti maya manusia sekaligus menjadikan internet wujud dalam keadaan bentuk algoritma yang mudah dikawal.

Keadaan itu menjadikan internet hari ini hanya bertujuan untuk menjual idea dan produk semata-mata.

Dia juga mendakwa hakikatnya kita sangat jarang berinteraksi dengan manusia sebenar di alam internet.

Ini termasuklah interaksi dengan kandungan-kandungan kreatif yang asli daripada manusia.

Sebaliknya, bot-bot dikatakan menggantikan manusia dan berinteraksi dengan hantaran-hantaran yang ada di internet.

Menariknya, Teori Kematian Internet ini dibincangkan jauh sebelum AI seperti ChatGPT dan sebagainya menjadi pendamping manusia.

Hari ini, teori berkenaan hanya menjadi satu meme, namun pada satu sisi turut seolah-olah menggambarkan realiti semasa.

Ada yang berpendapat bot yang dihasilkan AI adalah ibarat sampah plastik di dunia nyata. Jika plastik memenuhi lautan, bot pula adalah sampah yang memenuhi alam internet.

Adakah Teori Kematian Internet gambarkan realiti semasa dengan tepat?

Memang diakui ada banyak lambakan bot dan kandungan kreatif dijana oleh AI di alam maya.

Namun teori berkenaan tidak menggambarkan sepenuhnya realiti internet pada hari ini dengan tepat.

Pengendali-pengendali media sosial seperti Facebook dan X mengambil pelbagai pendekatan untuk menghapuskan kemunculan bot-bot ini.

Manakala AI juga tidak mampu menghasilkan kandungan kreatif dengan baik tanpa campur tangan manusia.

Seperkara lagi, AI juga tidak mampu memahami sesuatu konteks dengan baik seperti manusia.

Jadi, kandungan-kandungan yang dijana oleh AI tidak mampu menggantikan kandungan dijana oleh manusia sepenuhnya.

BACA: “Makan Orang Pun Boleh Ni”, Ular Sawa Besar & Panjang Jatuh Dari Siling Rumah

Sumber: Forbes, UNSW

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.