Wanita Dilapor Maut Selepas Terima Rawatan Laser
Seorang wanita dilaporkan maut selepas 10 hari menjalani rawatan laser untuk menghilangkan tanda lahir dan bintik pada kulitnya.
Difahamkan, mangsa yang berusia 27 tahun berasal dari Tianjin, sebuah bandar di utara China.
Menurut suaminya, mangsa mempunyai banyak bintik pada tubuhnya, termasuk beberapa yang gelap dan bersaiz besar.
Mangsa kemudiannya disahkan menghidap neurofibromatosis dan café-au-lait spots, dan memerlukan beberapa sesi rawatan laser untuk membuang tanda tersebut.
Justeru, mangsa telah menjalani sembilan prosedur di sebuah klinik swasta di Tianjin, dengan kos melebihi 100,000 yuan (kira-kira RM61 ribu).
Namun, selepas prosedur tersebut, mangsa melaporkan kepada doktor bahawa simptomnya semakin teruk.
Ibunya turut mendedahkan bahawa mangsa pernah berhenti menjalani rawatan laser kerana merasa sakit yang ‘luar biasa’.
Menurutnya, ini dipercayai berlaku disebabkan penggunaan krim anestetik yang tidak diaplikasikan secara sekata atau rata pada kulit mangsa.
BACA: Lelaki ‘Mati’ Hidup Semula Sebelum Mayatnya Dibakar
Akhirnya, ketika menjalani prosedur ke-10, mangsa mendakwa merasa pening sejurus selepas krim anestetik disapu pada kulitnya.
Doktor segera membuang krim tersebut, tetapi mangsa tiba-tiba mengalami kejutan, sawan dan serangan jantung.
Mangsa kemudiannya segera dikejarkan ke hospital lain untuk rawatan kecemasan, tetapi meninggal dunia 10 hari kemudian.
Doktor kecemasan melaporkan mangsa meninggal dunia akibat komplikasi tekanan intrakranial yang berlebihan.
Badan mangsa telah dihantar untuk autopsi forensik, dan keputusan masih belum diperoleh.
BACA: Mahkamah Taiwan Arah Pembunuh Pelajar Malaysia Bayar Pampasan Kepada Keluarga
Susulan itu, suami mangsa mengesyaki jumlah anestetik yang berlebihan menyebabkan reaksi alahan yang membawa kepada kematiannya.
Seorang individu yang mendakwa sebagai rakan mangsa juga menuduh klinik tersebut tidak menyediakan peralatan kecemasan mencukupi. Ini menyebabkan pihak klinik akhirnya terlepas peluang untuk menyelamatkan mangsa.
Namun, pihak klinik mempertahankan prosedur mereka, menyatakan bahawa krim anestetik digunakan mengikut protokol standard, dan ujian alahan hanya dilakukan atas permintaan pesakit.
Meskipun begitu, pihak klinik menyatakan kekesalan atas insiden tersebut, dan menegaskan bakal bertanggungjawab sepenuhnya jika didapati bersalah.
BACA: Thailand: Pembunuh Bersiri Paling Kejam Dalam Sejarah Dijatuhi Hukuman Mati
Sumber: SCMP