Lelaki ‘Mati’ Hidup Semula Sebelum Mayatnya Dibakar
Seorang lelaki berusia 25 tahun yang disahkan meninggal dunia tiba-tiba kembali bernafas ketika jasadnya diletakkan di atas kayu pembakaran mayat sebelum upacara kremasi.
Difahamkan, mangsa dengan masalah pendengaran dan pertuturan yang hidup sebatang kara itu berasal dari daerah Jhunjhunu, India.
Menurut laporan awal, kejadian bermula pada Khamis apabila mangsa jatuh pengsan di tempat tinggalnya di sebuah rumah perlindungan di daerah tersebut.
Mangsa kemudian dibawa ke wad kecemasan di sebuah hospital daerah tersebut sekitar jam 2:00 petang, dan disahkan meninggal dunia oleh doktor.
Jasadnya disimpan di rumah mayat selama dua jam sebelum dihantar ke krematorium untuk upacara pembakaran.
Namun, sejurus jasadnya diletakkan di atas kayu pembakaran, mangsa tiba-tiba mula bernafas, menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut.
Ambulans segera dipanggil, dan mangsa dibawa semula ke hospital di mana dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
Mangsa kemudiannya ingin dirujuk ke sebuah hospital di Jaipur pada Jumaat, namun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan.
Doktor bertanggungjawab digantung tugas
Berikutan insiden ini, tiga doktor yang bertanggungjawab telah digantung tugas oleh Pegawai Daerah Jhunjhunu, Ramavtar Meena.
Difahamkan, seorang doktor mengesahkan kematian mangsa akibat serangan epilepsi tanpa menjalankan bedah siasat.
Doktor tersebut kemudian terus menghantar jasad mangsa ke rumah mayat untuk proses kremasi mengikut tradisi Hindu tanpa melaksanakan prosedur yang sepatutnya.
Ketua Pegawai Perubatan hospital itu memberitahu AFP bahawa doktor terbabit telah “menyediakan laporan bedah siasat tanpa menjalankan sebarang pemeriksaan, sebelum jasad dihantar untuk dikremasi”.
Justeru itu, sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk untuk menyiasat dakwaan kecuaian perubatan yang membawa kepada tragedi ini.
Kes ini menimbulkan persoalan tentang ketepatan prosedur perubatan serta kecuaian yang boleh membawa kepada akibat buruk, seperti yang dialami oleh mangsa.
BACA: Tan Sri Ahmad Khan Nawab Khan Menghembuskan Nafas Terakhir Petang Tadi
BACA: Penerbangan MH79 Dilencongkan Ke Ho Chin Minh City
BACA: Mayat Ditemui Terbaring, Berlumuran Darah Dalam Bilik Kolej Swasta
Sumber: The Daily Star, AFP