Hujan Berterusan, Empat Lagi Jajahan Di Kelantan Diramal Alami Banjir
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) mengeluarkan amaran banjir di Kelantan yang melibatkan empat jajahan dan dijangka bermula hari ini.
Menerusi muat naik di laman X Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), amaran tersebut dikeluarkan susulan daripada amaran hujan berterusan pada tahap bahaya yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia malam tadi. Status aras air sungai turut diramalkan meningkat dan bakal melebihi paras bahaya.
Beberapa jajahan di negeri tersebut dijangka mengalami banjir bermula jam 2 petang, 27 November sehingga 2 petang, 1 Disember. Terdapat empat jajahan yang berada di kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer sekitar Sungai Galas dan Sungai Kelantan.
Berada berhampiran Sungai Galas, Jajahan Gua Musang dijangka bakal dilanda banjir. Kawasan yang terlibat adalah Kampung Batu 1, Kampung Batu 2 dan Kampung Limau Kasturi.
BACA: Air Paras Pinggang, Lelaki Gigih Harung Banjir Demi Selamatkan Lembu Ternakan
Sekitar Sungai Kelantan pula, Jajahan Kuala Krai turut menerima amaran tersebut. Antara kawasan yang tersenarai ialah Kampung Mambong, Kampung Dabing dan Kampung Kemubu. Kampung Kuala Gris dan Kampung Bahagia turut disenaraikan PRABN.
Selain itu, Jajahan Tanah Merah juga bakal dibadai banjir dalam tempoh berkenaan. PRABN menyenaraikan Bandar Tanah Merah, Kampung Belimbing, Kampung Panjang dan Kampung Kerilla. Selain itu, Taman Kiara dan Kampung Padang Kijang turut tersenarai.
Menerusi amaran yang sama, beberapa kawasan rendah di Jajahan Machang turut dijangka alami banjir. Kawasan tersebut adalah Batu 25, Kampung Tebing Renoh, Kampung Cina dan Kampung Lundang. Kampung Kuala Hau, Kampung Temangan Lama, Temangan dan Kampung Bandar Seri Aman juga tersenarai.
BACA: Amaran Hujan Lebat Berterusan Tahap Bahaya Di Seluruh Kelantan, Terengganu
Dalam pada itu, Kampung Bandar, Kampung Bunut, Kampung Ulu sat dan Kampung Surau Pulai Chodong di jajahan berkenaan juga menerima amaran tersebut. Begitu juga Jalan Kampung Penegoh dan Kampung Pangkal Perahui Pulai Chondong.
“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan. Ia bergantung kepada keadaan hujan yang signifikan berlaku di kawasan tersebut.
“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir,” tegas PRABN.
https://x.com/JPS_InfoBanjir/status/1861668095372468426
BACA: Peka, Ini Perkara Yang Perlu Anda Lakukan Sebelum, Semasa Dan Selepas Banjir
Sumber: Jabatan Pengairan dan Saliran