KPDN Hargai Usaha Industri LPG Memperkukuh Ekonomi Negara
MELAKA, 29 NOVEMBER 2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini telah merasmikan pembukaan gudang baharu penyimpanan tong komposit LPG AGGas Cawangan Melaka.
Astana City Group Sdn Bhd (ACGSB) merupakan salah satu syarikat pembekal Gas Petroleum Cecair (LPG) di bawah jenama ACGas di Malaysia. ACGas telah memperkenalkan teknologi silinder LPG komposit di Malaysia sejak November 2018 dan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan LPG yang menyokong keperluan pengguna di Malaysia.
Industri LPG di Malaysia merupakan sektor penting yang menyokong pelbagai keperluan harian rakyat dan ekonomi negara yang bertanggungjawab dalam memastikan kestabilan bekalan dan kawalan harga barangan bagi memastikan rakyat dapat menikmati bekalan LPG yang berkualiti dan mencukupi pada harga yang berpatutan.
Seiring dengan usaha berterusan oleh KPDN dalam memastikan rantaian bekalan LPG negara berada pada tahap yang optimum, penyimpanan yang lebih baik oleh AVGas ini diharapkan dapat meningkat kecekapan pengedaran dan meminimumkan sebarang kekurangan bekalan yang mungkin berlaku.
KPDN dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan yang lain dalam usaha membangunkan industri petroleum khususnya industri borong petroleum bagi memastikan rantaian pengedaran dan akses kepada bahan petroleum lebih mudah kepada pengguna. Sehubungan itu, KPDN berharap agar setiap syarikat pembekal LPG dapat mematuhi peraturan – peraturan sedia ada Kementerian khususnya Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB) yang menekankan keutamaan terhadap aspek keterjaminan bekalan, rantaian pengedaran dan kawalan keselamatan terhadap barang kawalan berjadual.
Bagi memastikan pengurusan dan pengedaran produk petroleum teratur dan jaminan terhadap keselamatan pengguna, KPDN menyeru agar syarikat LPG sentiasa patuh dengan akta-akta yang diperuntukkan tidak terhad hanya di bawah kawal selia KPDN malah juga di bawah Agensi Kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).
PELAKSANAAN OPS TIRIS 3.0
Berdasarkan statistik penguatkuasaan OPS TIRIS 3.0 bermula 1 Januari 2024 hingga 27 November 2024, sebanyak 39,653 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 2,570 kes telah dihasilkan dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM88.96 juta. Selain itu, sebanyak 606 orang individu telah ditangkap sepanjang tempoh pelaksanaan OPS TIRIS 3.0 ini melibatkan warga tempatan, warga asing dan pemastautin tetap.
Manakala bagi pelaksanaan OPS TIRIS 3.0 di Negeri Melaka mencatatkan 1,311 pemeriksaan. Daripada jumlah tersebut, 53 kes telah diambil tindakan yang melibatkan nilai rampasan sebanyak RM479,226.55. Komitmen KPDN dalam OPS TIRIS 3.0 ini dapat meningkatkan penguatkuasaan dan kawalan bekalan barang-barang kawalan terutama bagi barang kawalan bersubsidi. Usaha ini perlu diteruskan dengan sokongan bersepadu antara Kerajaan dan masyarakat melalui inisiatif KITA GEMPUR, agar ketirisan dan manipulasi dapat dibanteras sepenuhnya.
KPDN akan memperhebat lagi hebahan inisiatif KITA GEMPUR melalui program-program dan aktiviti penguatkuasaan dengan lebih meluas di setiap negeri dan cawangan di seluruh negara. Walau bagaimanapun, usaha ini bukan sahaja tanggungjawab Kerajaan semata mata, tetapi satu seruan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu dalam usaha kolektif ini.
Dengan sokongan dan penglibatan aktif daripada setiap individu, masyarakat, serta sektor swasta, kita mampu memastikan barang-barang kawalan dan bersubsidi sampai ke tangan yang berhak. Mari kita bersama-sama menjayakan inisiatif ini demi masa depan yang lebih cerah dan sejahtera untuk semua.
Kementerian amat menghargai usaha dan komitmen yang ditonjolkan oleh ACGSB dalam usaha memperkukuh industri LPG negara. Langkah ini menunjukkan kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan boleh menghasilkan impak positif kepada negara khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi yang mampan ke arah memastikan bekalan LPG terus mencukupi, selamat dan boleh diakses oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira lokasi mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan.