RisSMart24 Cabang Baharu Perniagaan Bawah RISDA, Potensi Bersaing Dalam Pasaran Sedia Ada
Pekebun kecil getah di bawah seliaan RISDA akan terus dibantu bagi memastikan mereka menerima pendapatan yang signifikan, bukan hanya melalui hasil kebun tetapi juga melalui bantuan perniagaan dan keusahawanan.
Di atas komitmen tersebut, RISDA dengan inisiatif terkini melalui pembukaan RisSMart24, yang berkonsepkan kedai serbaneka (on-the-go convenience store) dilihat mampu menjadi platform pemasaran kepada barisan produk-produk usahawan bimbingan RISDA.
Hari ini, perasmian inisiatif ini dilaksanakan dalam Majlis Perasmian RisSMart24 dan Pelancaran Syiling Peringatan Jubli Emas RISDA di UOA Business Park, Shah Alam. Majlis disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
RisSMart24 merupakan entiti perniagaan sektor peruncitan, iaitu cabang baharu perniagaan di bawah pengoperasian Kumpulan RISDA Holdings. Ia bermatlamat bukan hanya memperkasa peningkatan pendapatan melalui perniagaan yang dijalankan, malah berpotensi untuk bersaing dengan pemain perniagaan sedia ada di pasaran.
Melihat kepada prestasi sektor peruncitan negara yang mencatatkan angka memberangsangkan, serta pertumbuhan positif sektor perdagangan borong dan runcit dengan kadar 3.8 peratus pada September tahun ini seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pengenalan RisSMart24 pada masa ini berpotensi menjadi pemangkin utama kepada kejayaan inisiatif baharu RISDA.
RisSMart24 telah mula beroperasi pada bulan September lalu, kini mempunyai lima cawangan di sekitar Lembah Klang dengan menyediakan hampir 4,000 jenis produk. Sebanyak 164 produk hasil usahawan bimbingan RISDA turut menjadi barisan produk di setiap cawangan yang diuruskan oleh Kumpulan RISDA Holdings ini.
Selain produk permintaan ramai dan produk usahawan RISDA, RisSMart24 juga memasarkan produk sejuk beku seperti skewer yang berasaskan daging wagyu, daging kambing serta daging lembu tempatan hasil keluaran RisSMart Butchery.
Kini, lima cawangan yang telah beroperasi adalah di UOA Business Park Glenmarie, Jalan Telawi Bangsar, Seksyen 7 Shah Alam, The Netizen Cheras dan Teras Jernang Bangi. Cawangan ini disokong oleh ekosistem perniagaan strategik melalui penyediaan gudang penyimpanan dan pengedaran produk yang terletak di Meru, Klang.
Kumpulan RISDA Holdings kini menyasarkan untuk menambah enam lagi outlet RisSMart24 dalam masa terdekat di kawasan strategik seperti di Ampang, Damansara, Cyberjaya dan lain-lain, bagi memperluaskan jaringan dan capaian pelanggan mendapatkan variasi produk yang disediakan.
Bagi strategi jangka panjang, RISDA turut menjalankan kerjasama strategik bersama pihak berkepentingan daripada Thailand dan Jepun dengan membawa masuk produk popular daripada negara tersebut yang dilihat berpotensi menjadi nilai tambah dan daya tarikan golongan sasar kepada RisSMart24.
RISDA turut menyatakan komitmen dalam menggandakan usaha bagi memastikan lebih banyak usahawan mampu membekalkan produk yang boleh ditempatkan di seluruh cawangan RisSMart24 terutamanya produk yang mendapat Sijil Halal Malaysia dengan sasaran jenama ini akan menjadi hab produk halal yang mesra muslim.
Penekanan RISDA pada masa ini juga, adalah bagi menambah bilangan usahawan bimbingannya memperoleh pensijilan halal yang menjadi nilai tambah kepada produk yang dihasilkan, serta mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi. Tahun ini sahaja, seramai 32 orang usahawan bimbingan RISDA terlibat dalam program pensijilan halal.