SHAH ALAM, 4 DISEMBER 2024 – UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) dengan bangganya memperkenalkan dua model baharu yang dinanti-nantikan ke pasaran tempatan, menerusi pelancaran Camry dan Corolla Cross 2025 baharu, yang akan membuat penampilan sulungnya di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIMS 2024) pada 4 Disember 2024. Pelancaran ini bukan sekadar menandakan kedudukan Toyota dalam menerajui teknologi automotif terkini, tetapi juga mencerminkan komitmen jenama ini terhadap penyelesaian mobiliti yang canggih dan lestari.
Toyota menawarkan pelbagai pilihan mobiliti untuk memenuhi keperluan dan gaya hidup pengguna masa kini. Pilihan ini merangkumi jentera berkuasa Enjin Pembakaran Dalaman (ICE), Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV) yang mesra alam, serta varian sporty GR Sport yang direka untuk mereka yang mahukan pengalaman pemanduan yang lebih dinamik dan bertenaga. Pendekatan ini memastikan setiap pelanggan dapat menikmati sesuatu yang sesuai dengan keperluan dan cita rasa mereka.
Camry 2025 generasi ke-9 tampil sebagai penanda aras baharu dalam sedan segmen D dengan gabungan sempurna kemewahan, prestasi mengagumkan, dan pengalaman pemanduan yang tiada tandingan. Sementara itu, Corolla Cross 2025 baharu pula menetapkan standard baharu bagi SUV bandar kegemaran ramai dengan reka bentuk yang berani dan berteknologi terkini, direka untuk meningkatkan perjalanan harian dan memenuhi keperluan gaya hidup yang pelbagai.
Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor, berkata, “Kami berbangga memperkenalkan dua model hebat ini yang mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi Toyota terhadap inovasi, prestasi, dan kelestarian. Camry 2025, kini memasuki generasi kesembilan, bukan sekadar sebuah sedan tetapi simbol kepercayaan dan inovasi yang telah berkembang bersama rakyat Malaysia sepanjang tahun. Toyota telah menjadi sebahagian daripada nadi masyarakat Malaysia dengan menghasilkan kenderaan yang memenuhi keperluan dan gaya hidup rakyatnya. Sementara itu, Corolla Cross terus menawan hati rakyat Malaysia sebagai SUV bandar yang serba boleh dan berani.. Dengan pendekatan Multi-Pathway Toyota, kami akan memastikan
tiada siapa yang ketinggalan, kerana model-model ini direka untuk memenuhi keperluan dan cita rasa pelbagai lapisan pengguna. Dengan ini, kami terus mengukuhkan janji kami untuk menyokong rakyat Malaysia bagi merasai bagaimana Toyota mampu ‘Move Your World’.”
Camry 2025 Baharu: Revolusi Kecemerlangan Sedan
Camry 2025 menetapkan penanda aras baharu dalam dunia sedan dengan reka bentuk yang elegan dan teknologi termaju. Model ini hadir dalam varian 2.5 HEV, gabungan sempurna antara prestasi luar biasa dan kecekapan yang memenuhi pelbagai keperluan pemanduan moden. Bukan sekadar sebuah kenderaan hibrid biasa, Camry 2025 dilengkapi dengan Sistem Hibrid Generasi Ke-5 Toyota, yang menggabungkan Enjin Dynamic Force berkuasa tinggi dengan transaxle elektrik kompak serta bateri lithium-ion yang canggih. Gabungan teknologi ini menghasilkan kuasa pecutan yang lebih responsif, pelepasan emisi rendah, dan kecekapan bahan api yang tiada tandingan. Dengan inovasi ini, Camry 2025 membuka lembaran baharu dalam kecemerlangan sedan, menjanjikan pengalaman pemanduan yang bukan sahaja mesra alam tetapi juga penuh gaya dan prestasi.
Dari aspek reka bentuk luaran, Camry baharu menampilkan reka bentuk hadapan yang memikat dan dinamik, diinspirasikan oleh gaya “Hammerhead” yang diilhamkan daripada struktur menonjol ikan yu Hammerhead dan gaya mewah Toyota Crown. Gril atas yang tirus dan gril bawah yang lebar mencipta kombinasi sempurna antara gaya sofistikated dan agresif. Selain itu, tirai udara aerodinamik meningkatkan kestabilan pengendalian. Gabungan reka bentuk inovatif ini menjadikan Camry Baharu sebagai simbol kecanggihan dan prestasi tinggi.
Menjengah ke dalam kabin, Camry 2025 menawarkan pengalaman yang memikat dengan reka bentuk dalaman yang mengutamakan keselesaan dan kemewahan. Tempat duduk ventilasi untuk pemandu dan penumpang hadapan direka untuk memberikan keselesaan maksimum, manakala roda stereng yang diperbaharui menambah sentuhan elegan yang memperkayakan cita rasa premium. Paparan multimedia 12.3 inci menjadi tumpuan utama, lengkap dengan ketersambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto (dengan wayar), selain Paparan Maklumat Pelbagai Warna (MID) 12.3 inci turut disertakan untuk memberikan akses pantas dan intuitif kepada maklumat penting kenderaan. Gabungan teknologi dan reka bentuk ini menjadikan kabin Camry 2025 sebagai ruang yang sempurna untuk pemanduan moden.
Camry 2025 baharu tersedia pada harga bermula RM248,800 untuk varian 2.5 HEV. Pelanggan boleh memilih daripada enam warna premium, termasuk pilihan baharu
seperti Cement Grey, Dark Blue Mica, Precious Metal, dan Emotional Red, serta pilihan klasik seperti Platinum White Pearl dan Attitude Black.
Corolla Cross 2025 Baharu: Gaya Urban Premium, Kejuruteraan Luar Biasa!
Toyota sekali lagi mengangkat standard dalam kategori SUV dengan memperkenalkan Corolla Cross 2025, gabungan reka bentuk premium dan inovasi kejuruteraan. Membina kejayaan model sebelumnya, Corolla Cross 2025 hadir dengan tiga varian menarik: GR Sport HEV pertama, 1.8 HEV, dan 1.8V, masing-masing direka untuk memenuhi keperluan pelbagai gaya hidup. Dilengkapi Sistem Elektrik Hibrid Toyota terkini, SUV ini menawarkan kecekapan bahan api yang unggul dan pemanduan yang lancar serta responsif, sesuai untuk perjalanan bandar dan lebuh raya. Bagi peminat prestasi, varian GR Sport menawarkan suspensi talaan khas dan penstabil prestasi tinggi, menjadikan setiap perjalanan lebih dinamik dan menyeronokkan.
Dari segi reka bentuk, gril hadapan baharu, bampar yang diperbaharui, dan lampu utama Bi-LED sporty memberikan penampilan moden dan berani. Sementara itu, varian GR Sport pula menampilkan bumbung hitam dua tona eksklusif yang mengukuhkan aura sporty dan atletiknya, menjadikannya pilihan ideal untuk mereka yang inginkan kelainan. Corolla Cross 2025 bukan sekadar SUV – ia adalah simbol inovasi dan prestasi yang memenuhi aspirasi pemandu moden.
Bahagian dalaman Corolla Cross 2025 baharu menawarkan suasana elegan dengan aksen coklat gelap premium, yang melengkapkan pengalaman pemanduan moden. Panel digital Paparan Maklumat Pelbagai Warna (MID) 12.3 inci menyediakan maklumat pemanduan yang jelas dan komprehensif, manakala sistem audio paparan 10.1 inci menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, memastikan kesalinghubungan tanpa gangguan. Tambahan lagi, ciri seperti Electric Parking Brake dan Vehicle Telematics System yang dipertingkat disertakan fungsi Remote Engine Start menambah kemudahan dan keselesaan untuk gaya hidup bandar anda.
Dengan kempen “Reinvent Your Horizon,” Corolla Cross 2025 baharu hadir dalam tiga varian menarik: 1.8V bermula pada harga RM133,800; 1.8 HEV bermula pada RM140,800; 1.8 HEV GR Sport, bermula pada harga RM148,800. Pilihan warna baharu seperti Dark Turquoise memperkayakan palet warna sedia ada, sementara varian GR Sport menonjol dengan bumbung hitam dua tona eksklusif, menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang ingin menonjol.
Ketenangan Minda dengan Jaminan Toyota
Selain reka bentuk dan teknologi canggih, Toyota turut menitikberatkan ketenangan minda pemiliknya. Corolla Cross 2025 dan Camry 2025 baharu didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, manakala teknologi hibrid elektrik pula disokong oleh jaminan lapan tahun tanpa had perbatuan, yang merangkumi bateri hibrid, inverter, dan unit kawalan pengurusan kuasa. Untuk perlindungan tambahan, jaminan hibrid boleh dilanjutkan sehingga 10 tahun, memberikan keyakinan maksimum kepada pemilik.
Jangan lepaskan peluang untuk meneroka model Toyota baharu yang inovatif ini. Layari www.toyota.com.my atau kunjungi bilik pameran Toyota terdekat hari ini. Rasai gabungan inovasi, kelestarian, dan prestasi dalam satu pemanduan – hanya bersama Toyota, jenama yang membawa anda ke masa depan mobiliti.