Undang-Undang Tentera Korea Selatan, Apa Yang Anda Perlu Tahu
Semalam, Korea Selatan digemparkan dengan pengisytiharan undang-undang tentera oleh Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol yang berkuat kuasa serta-merta. Tindakan ini bukan hanya menjadi perdebatan hangat dalam kalangan rakyatnya, malah menjadi tumpuan seluruh dunia.
Namun, selepas beberapa jam mengumumkan pengisytiharan tersebut, Yoon mengumumkan penarikan semula undang-undang tentera itu.
Apa sebenarnya yang telah berlaku di sana? Apakah sebab di sebalik pengisytiharan undang-undang tentera ini dan bagaimana ia boleh ditarik semula dalam tempoh yang begitu singkat?
Bagi menjawab persoalan-persoalan ini, ikuti penjelasan peristiwa ini di bawah.
Apa itu undang-undang tentera?
Undang-undang tentera merujuk kepada pemberian kuasa penuh kepada tentera ketika darurat. Menurut CNN, pengisytiharan ini boleh dilakukan oleh presiden semasa.
BACA: Presiden Korea Selatan Isytihar Undang-Undang Tentera
Berdasarkan laporan AFP, Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera dan menyelar pembangkang dengan dakwaan sebagai ‘angkatan anti-negara’ yang mengancam demokrasi negara tersebut. Tindakan luar jangkaan ini merupakan pengisytiharan undang-undang tentera Korea Selatan yang pertama sejak ia diisytiharkan lebih empat dekad yang lalu.
Ketua Tentera, Park An Su menerima dekri enam perkara daripada komander baru undang-undang tentera dengan mengharamkan aktiviti dan parti politik. Malah, mana-mana ‘propaganda palsu’, tunjuk perasaan dan ‘perkumpulan yang menimbulkan keresahan sosial’ turut diharamkan.
Arahan tersebut turut menyebabkan semua saluran media berada di bawah kuasa undang-undang tentera. Arahan tersebut juga melibatkan pegawai perubatan termasuk doktor yang menyertai tunjuk perasaan untuk kembali bekerja dalam masa 48 jam.
Pasukan keselamatan telah menutup sepenuhnya Persidangan Negara di parlimen dengan pendaratan helikopter di bumbung dan pergerakan masuk tentera ke dalam bangunan dalam masa yang singkat. Tindakan ini dilihat sebagai usaha menghalang penggubal undang-undang daripada masuk ke dalam.
BACA: Pelakon Korea Selatan, Park Min Jae Meninggal Dunia
Biarpun begitu, seramai 190 orang penggubal undang-undang berjaya masuk dan membuang undi sebulat suara bagi menolak pengisyitharan yang dibuat oleh Yoon. Dengan ini, undang-undang tentera diseru agar ditarik semula.
Manakala keadaan di luar parlimen menyaksikan ratusan penunjuk perasaan berkumpul dan mendesak penahanan Yoon.
Berikutan undian penggubal undang-undang tersebut, Yoon berundur dan jemaah menterinya meluluskan tindakan menarik semula pengisytiharan tersebut.
“Beberapa saat lalu, terdapat permintaan daripada Persidangan Negara untuk menarik semula pengisytiharan darurat itu, dan kami telah mengundurkan tentera yang digerakkan bagi melaksanakan operasi undang-undang tentera,” kata Yoon menerusi satu siaran televisyen sekitar jam 4.30 pagi waktu tempatan.
Beliau berkata, tindakan pengisytiharan tersebut bagi melindungi demokrasi liberal Korea Selatan daripada ‘unsur-unsur anti-negara’ dan ‘ancaman dari Korea Utara’. Namun, ulasan lanjut berkenaan perkara tersebut tidak diberitahu.
BACA: Lawatan Perdana Menteri Ke Republik Korea Raih RM32.8 Bilion Potensi Pelaburan, RM1.3 Bilion Potensi Eksport
Dalam pada itu, pengisytiharan tersebut dipercayai berikutan perbalahan antara Yoon dan parti pembangkang, Parti Demokratik berkenaan peruntukan belanjawan negara. Daripada USD477 bilion jumlah belanjawan yang dicadangkan oleh Yoon untuk tahun hadapan, sebanyak USD2.8 bilion telah dipotong oleh pihak pembangkang.
“Kesemua belanjawan utama yang penting terhadap fungsi teras negara telah dipotong,” ujar Yoon.
Peristiwa ini dijangka bakal berlarutan berikutan kesan langsung daripada tindakan Presiden Korea Selatan ini.
Selepas tekanan semakin meningkat, parti pembangkang utama Korea Selatan menuntut Yoon untuk berundur dengan tuduhan tindakannya sebagai pemberontakan. Malah, kumpulan kesatuan pekerja utama negara tersebut turut mengumumkan mogok umum tanpa had sehingga beliau meletakkan jawatannya disebabkan langkah yang dianggap tidak rasional dan anti-demokrasi.
Dalam pada itu, Parti Kuasa Rakyat iaitu parti yang diwakili oleh Yoon juga menggelar tindakannya sebagai tragik dan menuntut semua yang terlibat dipertanggungjawabkan.
Difahamkan setakat ini, enam parti pembangkang telah mengemukakan rang undang-undang kepada badan perundangan bagi menggesa pemecatan Yoon.
Jika ia diluluskan, usul pemecatan ini akan dibawa pula ke Mahkamah Perlembagaan bagi mendapatkan sekurang-kurangnya enam hakim bersetuju untuk meneruskan pemecatan ini. Buat masa ini, Yoon digantung daripada menggunakan kuasanya.
https://x.com/AFP/status/1864319528357802177