Hujan Lebat, Ribut Petir Dijangka Landa 6 Negeri
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang meliputi enam negeri sehingga jam 7 malam ini.
Menerusi muat naik di laman Facebook, hanya daerah Kinta, Kampar dan Batang Padang di Perak alami cuaca buruk. Begitu juga dengan Kelantan yang hanya melibatkan daerah Gua Musang.
Di Terengganu, hujan lebat dijangka landa daerah Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman. Manakala di Pahang, sebahagian besar kawasan di utara negeri dijangka hujan lebat. Amaran tersebut dikeluarkan bagi daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Kuantan dan Pekan.
BACA: Lebih 10,000 Penyakit Bawaan Air Dikesan Di Enam Negeri Terjejas Banjir – Dzulkefly
Terus ke Johor, daerah Mersing dan Kota Tinggi turut tersenarai bakal menerima hujan lebat.
Beralih ke Sarawak, MetMalaysia menjangkakan daerah Sri Aman (Sri Aman), Miri (Miri) dan Limbang bakal dilanda hujan lebat.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” maklum MetMalaysia.
BACA: Gelombang Kedua Banjir Diramal Bermula Esok, Pahang & Johor Antara Dijangka Terjejas
Sementara itu, jabatan berkenaan turut meramalkan gelombang kedua banjir bakal bermula esok untuk tempoh dua minggu, lapor Bernama. Antara negeri yang dijangka turut terjejas akibat bencana kali ini ialah Pahang dan Johor.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bencana banjir dijangka melanda Sabah dan Sarawak bermula penghujung bulan Disember sehingga Mac nanti.
“Kita harap supaya tidak terjadi sepertimana gelombang pertama. Kali ini gelombang kedua mungkin akan melibatkan Johor dan Pahang dengan lebih berat lagi. Namun kesiapsiagaan melalui pengagihan perkhidmatan untuk aset dan pegawai serta anggota dan peralatan telah kita atur gerak.
“Kita harapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melakukan penyelarasan terhadap usaha yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara,” ujarnya.
BACA: Penghantar Makanan Maut Dirempuh Ketika Berhenti Di Lampu Isyarat