Noor Azman Yakin Harimau Malaya Bakal Ke Final Piala AMEC
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini menyasarkan Harimau Malaya ke pentas perlawanan akhir Piala Asean Mitsubishi Electric (AMEC) 2024, lapor Stadium Astro.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman memiliki keyakinan terhadap pasukan itu walaupun prestasi skuad negara tidak begitu memuaskan berikutan seri dengan Kemboja, serta hanya menang tipis dengan keputusan 3-2 ke atas perlawanan Kumpulan A bersama Timor-Leste, malam tadi.
Difahamkan, situasi tersebut mencerminkan kepincangan perancangan skuad negara dalam memberi cabaran dalam edisi pertama ini. Terutamanya apabila menjelang kunjugan ke Thailand pada Sabtu ini.
“Sudah semestinya sasaran kita untuk ke final,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Stadium Astro.
https://x.com/FadhirulS/status/1867123328726790467
Menurut Bernama, Malaysia nyaris dimalukan pasukal kerdil Timor-Leste selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-2 pada perlawanan kedua Kumpulan A di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Penyerang naturalisasi Paulo Josue muncul wira skuad Harimau Malaya apabila meledak dua gol pada babak kedua permainan untuk mengubah kedudukan selepas Timor-Leste yang merupakan pasukan di ranking-196 dunia mendahului 2-1 di separuh masa pertama.
Pada pertembungan itu, ketua jurulatih pasukan negara Pau Marti Vicente melakukan tujuh perubahan dalam kesebelasan utama yang seri 2-2 menentang Kemboja pada aksi pembukaan di Phnom Penh, Ahad lepas, menyaksikan skuad kendaliannya bergelut dan beraksi di bawah kemampuan sebenar.
Kegagalan menemui rentak permainan menyaksikan tandukan penyerang Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-10 menjadi satu-satunya percubaan tepat pasukan negara ke gawang sepanjang 30 minit pertama.
BACA: FIFA Umum Tuan Rumah Piala Dunia 2030 dan 2034
Malaysia akhirnya berjaya memecah kebuntuan gol selepas beberapa siri gerakan serangan yang mengecewakan, apabila Syafiq Ahmad menyempurnakan hantaran lintang cantik pemain gantian Fergus Tierney menerusi sepakan voli untuk meletakkan pasukan negara di depan pada minit ke-38.
Namun dalam sekelip mata Timor-Leste berjaya mendahului 2-1 di hujung separuh masa pertama selepas menghukum kealpaan benteng pertahanan negara dengan Olagar Xavier dan ketua pasukan Joao Pedro masing-masing mencipta nama sebagai penjaring pada masa kecederaan.
Pedro yang mencuri tumpuan dengan larian pantas di sebelah kiri sekali lagi mengancam kubu negara, bagaimanapun rembatannya dari jarak dekat tersasar sebelum Malaysia mencipta gol penyamaan dua minit kemudian menerusi rembatan Josue yang menerima hantaran lambung cantik pemain tengah gantian Endrick Dos Santos.
Penyerang Kuala Lumpur (KL) City FC berusia 35 tahun itu terus garang di depan gawang apabila meraih gol peribadi keduanya selepas menanduk masuk bola tampanan kurang kemas pemain gantian Timor-Leste Luis Figo Ribeiro pada minit ke-83 sekali gus mengesahkan kemenangan pertama Malaysia pada kempen kali ini.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi kumpulan, Singapura yang beraksi dalam perlawanan pertama mereka berjaya menundukkan Kemboja 2-1 di Stadium Nasional, Singapura.
Malaysia kini mendahului Kumpulan A dengan mengumpul empat mata, satu mata di depan juara bertahan Thailand dan Singapura yang masing-masing baru bermain satu perlawanan di posisi kedua dan ketiga, diikuti Kemboja keempat (satu mata) dan Timor-Leste tercorot tanpa sebarang mata.
Pasukan kebangsaan akan membuat perhitungan menentang Thailand di Bangkok, Sabtu ini manakala Timor-Leste akan berdepan Singapura.
BACA: Taylor Swift Beri Bonus ‘Lumayan’ Kepada Kru, Kakitangan Eras Tour
Sumber: Stadium Astro