Taylor Swift Beri Bonus ‘Lumayan’ Kepada Kru, Kakitangan Eras Tour
Penyanyi pop terkenal, Taylor Swift, telah memberikan penghargaan ‘lumayan’ kepada pasukan belakang tabir di sebalik kejayaan siri konsert jelajah, The Eras Tour.
Sepanjang dua tahun ini, Swift mengagihkan bonus sebanyak USD197 juta (sekitar RM873 juta) kepada semua individu yang terlibat dalam produksi jelajah tersebut, menurut laporan PEOPLE.
Antara penerima bonus tersebut termasuklah pemandu lori, penyedia makanan, juruteknik alat muzik, pasukan penjualan barangan, jurutera lampu dan bunyi, serta kakitangan produksi dan pembantu.
Turut menerima penghargaan ialah tukang kayu, penari, pemuzik, pasukan keselamatan, koreografer, piroteknik, juruteknik rigging, jurusolek, pendandan rambut, penjaga kostum, ahli fisioterapi, dan pasukan video.
Pada Ogos 2023, ketika Swift menamatkan jelajah di Amerika Utara, beliau dilaporkan memberikan lebih daripada USD55 juta (sekitar RM243 juta) sebagai bonus kepada pasukannya.
BACA: Lelaki Pakai Mesin Rumput “Custom” Untuk Sental Lantai Kotor
Konsert terakhir Eras Tour berlangsung pada Ahad, 8 Disember 2024, di BC Place Stadium, Vancouver.
Konsert yang bermula sejak Mac 2023 di Glendale, Arizona ini mencapai kemuncak dengan Swift menyampaikan penghargaan kepada peminatnya.
“Kami telah menjelajah seluruh dunia. Ia merupakan pengalaman paling mengujakan, penuh cabaran, dan luar biasa dalam hidup saya,” ujar Swift semasa persembahan set pembukaan Lover.
“Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada babak paling mendebarkan dalam hidup saya, jelajah Eras Tour yang saya cintai ini,” ucap Swift sebelum menyanyikan lagu terakhirnya, “Karma”.
Selepas konsert ke-149 yang juga konsert terakhirnya, syarikat produksi Swift, Taylor Swift Touring, mengesahkan bahawa jelajah ini dihadiri lebih 10 juta peminat dan menjana jualan tiket sebanyak USD2.07 bilion (sekitar RM9.18 bilion).
Ia menjadikan Eras Tour sebagai jelajah dengan jualan tiket paling tinggi dalam sejarah, dua kali ganda berbanding mana-mana konsert lain.
BACA: Pernah Bacaan Gula 21.2, Pemuda Menangis Teresak-esak Disahkan Hidap Kencing Manis
Selain kejayaan besar jelajah ini, Swift turut mencatatkan pencapaian lain pada tahun 2024.
Buku “Taylor Swift | The Eras Tour” turut mencatat jualan sebanyak 814,000 naskhah dalam dua hari pertama pelancarannya, menjadikannya penerbitan paling berjaya tahun ini.
Swift juga dinobatkan sebagai artis paling banyak distrim di Spotify, Apple Music,dan Amazon Music pada tahun 2024, dengan album terbaharunya, “The Tortured Poets Department”, menjadi album paling banyak distrim sepanjang tahun.
Walaupun era Eras Tour telah berakhir, Swift masih mempunyai banyak perkara yang dinantikan pada tahun 2025.
Pemenang 14 kali Grammy ini dicalonkan untuk enam lagi anugerah Grammy, termasuk kategori “Album of the Year” bagi album “TTPD”.
BACA: Macam Anaconda, Penduduk Nampak Kelibat Ular Sawa Ketika Banjir
Sumber: PEOPLE