Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kerjasama Taylor’s–Toulouse Manfaatkan Kira-kira 25,000 Graduan Sepanjang 40 Tahun

Kerjasama akademik antara Universiti Taylor’s dengan Université Toulouse – Jean Jaurès (UT2J), Perancis, telah memberi manfaat kepada kira-kira 25,000 graduan sejak 1986 melalui kelayakan antarabangsa, pertukaran akademik dan pendedahan industri.

Universiti Taylor’s dalam kenyataan sempena ulang tahun ke-40 kerjasama itu memaklumkan bahawa hubungan berkenaan membuka peluang kepada pelajar mengikuti program diploma dengan penganugerahan kelayakan daripada kedua-dua institusi.

Pelajar turut berpeluang memperoleh pengalaman antarabangsa melalui latihan industri di hotel dan restoran terkemuka di Perancis, termasuk premis bertaraf bintang Michelin.

Dekan Eksekutif Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Liburan Universiti Taylor’s, Profesor Dr Neethiahnanthan Ari Ragavan berkata kerjasama itu menggabungkan kepakaran akademik Malaysia dan Perancis bagi mempersiapkan pelajar menghadapi persekitaran pekerjaan antarabangsa.

“Selama 40 tahun, kerjasama ini menghimpunkan kepakaran akademik dari Malaysia dan Perancis, memberikan pelajar kami peluang mengenali budaya berbeza, bekerja bersama profesional industri serta membina keyakinan untuk berjaya dalam persekitaran antarabangsa.

“Seiring perkembangan industri, kami kekal komited memastikan pelajar dilengkapi pengetahuan, pengalaman praktikal dan kebolehsuaian untuk membina kerjaya yang bermakna,” katanya.

Menurut kenyataan itu, penubuhan Taylor’s Toulouse University Centre (TTUC) pada 2009 turut memperkukuh program akademik, penyeliaan bersama dan pertukaran ilmu antara kedua-dua institusi.

Kerjasama berkenaan juga diperluas kepada penyelidikan dalam bidang kajian makanan dan gastronomi, termasuk hubungan antara makanan, budaya, kesihatan dan masyarakat.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Cef Pickle Dining, Cef Danial Thorlby berkata pengiktirafan terhadap kelayakannya membantu membuka peluang kerjaya di luar negara.

Beliau berkata ketika menghadiri temu duga pertamanya di sebuah kedai pastri Perancis terkemuka di London, ketua cef yang juga graduan Toulouse mengenali kelayakan tersebut sebelum menawarkan pekerjaan kepadanya.

“Peluang itu membawa kepada kerjaya merentasi London, Paris, New York dan Singapura sebelum saya kembali ke Malaysia untuk menubuhkan Pickle Dining. Saya berharap kerjasama Taylor’s–Toulouse terus membuka peluang serupa kepada generasi akan datang,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Hotel Tales, Dr Hanley Chew pula berkata program berkenaan membolehkan profesional hospitaliti berpengalaman memperoleh pengiktirafan akademik terhadap pengetahuan dan kepakaran industri mereka.

Beliau yang kini Profesor Adjung di Sekolah Hospitaliti, Pelancongan dan Acara Universiti Taylor’s turut berkongsi pengalaman industri perhotelan dengan pelajar bagi menghubungkan pembelajaran akademik dengan keperluan pekerjaan sebenar.

Sambutan ulang tahun bertemakan “Celebrating the Finer Things in Life” itu menghimpunkan wakil UT2J, Institut Supérieur du Tourisme, de l’Hôtellerie et de l’Alimentation (ISTHIA), Groupement d’Établissements (GRETA) dan Académie de Toulouse, selain ahli akademik, rakan industri serta alumni.

Majlis turut menampilkan hidangan makan malam hasil kerjasama cef berbintang Michelin, Jérémy Morin dari Restoran L’Aparté di Toulouse, bersama cef dan pelajar kulinari Taylor’s.

Menurut kenyataan itu, penglibatan tersebut memberi pengalaman langsung kepada pelajar mengenai disiplin, ketelitian dan kerja berpasukan dalam dapur profesional.

Kedua-dua institusi turut menandatangani memorandum persefahaman sempena sambutan berkenaan bagi menegaskan komitmen terhadap kesinambungan kerjasama akademik.

Dekan ISTHIA di UT2J, Profesor Madya Dr Cyrille Laporte berkata pihaknya berhasrat memperkukuh pertukaran akademik, mobiliti pelajar dan perkongsian ilmu bagi menyokong pembangunan generasi profesional hospitaliti seterusnya.