Mikheil Kavelashvili Dipilih Sebagai Presiden Georgia
TBILISI, 14 Dis (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) — Mikheil Kavelashvili, calon daripada parti pemerintah Georgian Dream, dipilih sebagai Presiden Georgia, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Mikheil Kavelashvili dipilih sebagai Presiden Georgia,” menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat (CEC) Giorgi Kalandarishvili pada Sabtu, sambil memaklumkan yang Kavelashvili memperoleh 224 undi daripada 300. Seorang calon memerlukan sekurang-kurangnya 200 undi untuk dipilih sebagai presiden, katanya.
Pilihan raya yang berlangsung pada Sabtu itu mencatat sejarah sebagai kali pertama Presiden Georgia dipilih melalui Badan Perwakilan Pemilih dan bukannya undian langsung. Sistem ini diperkenalkan susulan pindaan perlembagaan pada 2017, melibatkan 300 ahli Badan Perwakilan Pemilih yang terdiri daripada ahli parlimen.
Menurut jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Georgia, Natia Ioseliani, pilihan raya itu dianggap sah pada awal pagi apabila lebih 170 ahli Badan Perwakilan Pemilih mengundi, melebihi kuorum yang diperlukan.
Pilihan raya itu diadakan di tengah-tengah protes pembangkang terhadap parti pemerintah Georgian Dream dan keengganan Presiden yang akan tamat tempoh penggalnya, Salome Zourabichvili, untuk berundur.
Pihak pembangkang memboikot pilihan raya itu menyebabkan Kavelashvili, seorang bekas pemain bola sepak dan satu-satunya calon yang berdaftar, menjadi pilihan tanpa saingan.
BACA: Pelancong China Ditemukan Lemas Bersama Beg Galas Berisi Batu Bata Di Semporna
BACA: SAPP Tarik Diri Daripada Perikatan Nasional – Presiden
Sumber: BERNAMA