Deretan Rumah Ini Digelar “Rumah Bunuh Diri”, Rupanya Ini Sebabnya
Di pinggir bandar El Alto, Bolivia, terdapat deretan rumah yang dikenali sebagai “suicide homes” atau rumah bunuh diri.
Gelaran ini diberi kerana kedudukan rumah-rumah tersebut yang dibina di tepi tebing curam yang berisiko runtuh pada bila-bila masa.
Bagi sesiapa yang melihatnya, pasti timbul persoalan mengapa ada yang sanggup tinggal di kawasan sedemikian.
Kedudukannya yang begitu berbahaya membuatkan ramai berfikir berulang kali sebelum menduduki mana-mana rumah di situ.
Penduduk enggan pindah meski ‘nyawa di hujung tanduk’
Rumah-rumah ini dibina di sepanjang Avenida Panorámica dan kawasan komersial yang sibuk, La Ceja.
Kawasan ini terkenal dengan kedudukannya di tepi tebing tanah liat yang sangat terdedah kepada runtuhan tanah.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, hujan lebat yang melanda ibu negara Bolivia dan kawasan sekitarnya telah meningkatkan risiko tanah runtuh.
Namun, penduduk di situ, yang kebanyakannya terdiri daripada peniaga dan dukun tradisional dikenali sebagai yatiri, enggan berpindah walaupun nyawa mereka terancam.
“Kami tidak akan berpindah dari sini kerana tempat ini adalah mata pencarian harian kami. Tetapi kami akan menjaga tanah ini, terutama air hujan, dengan mengalirkannya ke tempat lain,” ujar seorang yatiri dalam perkembangan lain.
Bagaimanapun, usaha untuk mengawal aliran air bagi mengurangkan hakisan tanah bukanlah sesuatu yang mudah.
Kerana lokasi yang berbahaya, pihak berkuasa tempatan menegaskan bahawa keruntuhan tebing adalah perkara yang tidak dapat dielakkan.
Bahkan, pihak berkuasa telah menggesa penduduk untuk segera mengosongkan bangunan demi keselamatan mereka.
“Jurang di lembah ini mempunyai sudut 90 darjah. Itulah sebabnya kami mahu mereka meninggalkan kawasan ini.
“Jika mereka enggan berpindah, kami mungkin terpaksa menggunakan kuasa undang-undang,” kata Setiausaha Perbandaran untuk Pengurusan Air, Sanitasi, Alam Sekitar dan Risiko, Gabriel Pari.
Penduduk percaya rumah-rumah ini miliki nilai spiritual
Difahamkan, rumah-rumah ini, yang diperbuat daripada bata dan dilitupi kepingan besi bergelombang, bukan sekadar tempat tinggal bagi penduduk El Alto.
Bagi yatiri, rumah-rumah ini mempunyai nilai spiritual yang mendalam.
Ada yang mencadangkan untuk membuat upacara persembahan kepada Pachamama, dewi yang dihormati oleh masyarakat pribumi Andes, sebagai usaha untuk mengelakkan tanah runtuh.
“Kami boleh melakukan upacara persembahan. Ia adalah sebagai ‘bayaran’ kepada Pachamama, dan dengan cara ini, tanah ini tidak akan bergerak. Sebaliknya, ia akan menjadi stabil,” kata seorang lagi yatiri.
Untuk info, kedudukan rumah-rumah ini sememangnya berisiko sejak awal, namun perubahan iklim dan hujan lebat yang lebih kerap telah memburukkan lagi keadaannya.
Risiko tanah runtuh semakin tinggi, dan keengganan penduduk untuk berpindah terus menjadi cabaran besar bagi pihak berkuasa.
BACA: Ini Perkara Sebenar Di Sebalik ‘Harta Karun’ Bernilai RM138.4 Bilion Dikatakan Milik Malaysia
BACA: “Ini” Negara Pertama Dijangka ‘Pupus’ Dari Dunia, Tak Sangka Ini Sebabnya
BACA: Elon Musk Ramal Negara Kedua Bakal ‘Pupus’, Ini Sebabnya
Sumber: Oddity Central