Siakap Keli
Struktur organisasi baharu Harimau Malaya
Kredit: FAM

FAM Umum Nama Dua Teraju Utama Struktur Organisasi Baharu Harimau Malaya

FAM Umum Nama Dua Teraju Utama Struktur Organisasi Baharu Harimau Malaya

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini telah mengumumkan struktur organisasi baharu bagi skuad bola sepak negara, Harimau Malaya.

Perubahan ini bertujuan untuk memperkukuhkan pengurusan, penggunaan teknologi dan perubatan, serta melantik jurulatih-jurulatih baharu yang akan memainkan peranan penting dalam memajukan skuad kebangsaan.

“Fasiliti pengurusan dan pasukan perubatan akan ditambah baik dan bakal menerima nafas yang baharu di bawah penstrukturan semula FAM.

“Ini adalah sebahagian inisiatif-inisiatif serta perubahan bagi melaksanakan struktur organisasi baharu untuk Harimau Malaya,” tulis FAM dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, FAM turut mengumumkan pelantikan dua individu penting yang akan menerajui struktur organisasi baharu skuad kebangsaan.

Ketua Jurulatih Kebangsaan – Peter Cklamovski

FAM telah melantik bekas pengurus FC Tokyo, Peter Cklamovski dari Australia sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan.

Menurut FAM, Cklamovski dilihat sebagai seorang jurulatih muda yang berkaliber dalam memastikan skuad Harimau Malaya dapat bersaing lebih hebat di pentas antarabangsa bermula dengan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac depan.

Cklamovski, yang kini berusia 46 tahun, mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia bola sepak, terutamanya ketika beliau bekerja bersama Ange Postecoglou dalam skuad kebangsaan Australia dan kelab Yokohama F. Marinos.

“Cklamovski kemudian mengembangkan kariernya sebagai ketua jurulatih apabila dilantik sebagai pengurus kelab Liga J1, Shimizu S-Pulse pada 2020.

“Pada musim 2021, beliau mengambil cabaran untuk menjadi pengurus kelab Liga J2, Montedio Yamagata dan berjaya menyelamatkan kelab tersebut daripada zon penyingkiran, seterusnya bangkit layak ke perlawanan ‘playoff’ ke Liga J1.

“Selepas itu, Cklamovski dilantik pula sebagai pengurus FC Tokyo pada Jun 2023 dan berjaya memberi impak segera menerusi penerapan identiti bola sepak penuh berinspirasi yang menghasilkan kejayaan serta memberikan keterujaan kepada penyokong,” tulis FAM.

Jelas FAM, Cklamovski hadir ke Malaysia untuk menyediakan satu set staf kejurulatihan yang mantap.

Ini bertujuan memastikan para pemain yang dipanggil ke kem latihan skuad Harimau Malaya mendapat tunjuk ajar yang sebaiknya.

Dengan bimbingan tersebut, kemampuan dan kemahiran mereka di perlawanan peringkat antarabangsa dapat ditingkatkan.

“Sebagai permulaan, misi utama Cklamovski adalah untuk memastikan skuad Harimau Malaya berjaya mengungguli saingan kelayakan Kumpulan F bagi mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi, selain memperbaiki ranking FIFA untuk menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia,” tambah FAM.

Ketua Jurulatih B-23 Kebangsaan – Nafuzi Zain

Bagi memastikan kesinambungan bakat muda dalam skuad Harimau Malaya, FAM melantik Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain sebagai Ketua Jurulatih B-23 Kebangsaan.

Jelas FAM, kredibiliti Nafuzi, yang juga berusia 46 tahun, ditagih dalam usaha memperkasakan semula skuad B-23 kebangsaan yang kebelakangan ini kelihatan kurang menyinar di pentas antarabangsa.

“Rekod dan pengalaman Nafuzi dalam mengendalikan pasukan bawah umur tidak boleh dinafikan apabila beliau berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Presiden sebanyak tiga kali iaitu sebagai penolong ketua jurulatih pada 2011 dan 2013 serta sebagai ketua jurulatih pada 2015.

“Beliau kemudian menjadi ketua jurulatih skuad Piala Presiden T-Team FC serta muncul naib juara pada 2016 dan kemudian telah dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Terengganu FC pada 2017 hingga 2019.

“Nafuzi kemudian mengembangkan kariernya apabila dilantik sebagai ketua jurulatih Terengganu FC pada 2020 hingga 2022 dengan kejayaan meraih tempat ketiga Liga Super 2020 serta naib juara Liga Super 2022 dan Piala FA 2022, selain layak ke Piala AFC.

“Selepas bergelar Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022, Nafuzi berhijrah untuk menjadi ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC pada 2023 dan 2024,” tulis FAM.

Justeru, FAM melihat dengan kehadiran Nafuzi, skuad B-23 dijangka kembali bangkit dalam Kejuaraan B-23 ASEAN 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA 2025 di Thailand.

https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=1290387108701189&id=100031897353455&rdid=z1D2cYUvL11v4Six#

Tidak berhenti di situ, Ketua Pegawai Eksekutif dan pasukan perubatan berpengalaman baharu juga akan dilantik untuk membantu penstrukturan semula FAM dalam memastikan perjalanan operasi organisasi berjalan dengan lebih cekap serta profesional.

“Pasukan perubatan akan mula menggunakan teknologi-teknologi terkini untuk membantu memastikan pemain-pemain Harimau Malaya sentiasa mendapat perkhidmatan dan rawatan perubatan yang terbaik.

“Langkah-langkah ini juga diharapkan dapat meningkatkan kualiti pengurusan serta memperkukuhkan kecergasan pemain dan membantu pemulihan pemain serta memaksimumkan potensi mereka,” jelas FAM lagi.

Tegas FAM, butiran lanjut mengenai jawatan-jawatan lain dalam struktur organisasi baharu ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

BACA: Sze Fei-Izzuddin Kini Duduki Ranking Ke-3 Dunia

BACA: Tang Jie-Ee Wei Muncul Naib Juara Jelajah Dunia Akhir BWF

BACA: Zii Jia Terpaksa Naik Kerusi Roda, Peminat Luah Rasa Kecewa Dengan Peraturan BWF

Sumber: FAM

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.