Kini Berusia 124 Tahun, Kenali Henry Buaya Tertua Di Dunia
Ulang tahun kelahiran atau hari lahir merupakan tarikh yang paling diingati oleh sesiapa sahaja. Ada yang menyambut tarikh tersebut dengan jamuan besar-besaran bersama ahli keluarga dan rakan-rakan, ada juga yang bersederhana, cukup dengan memanjatkan doa kesyukuran terhadap Ilahi.
Bagi mereka yang mempunyai haiwan peliharaan, tarikh ini juga menjadi catatan apabila mengunjungi klinik haiwan. Jangan tak tahu, selain haiwan peliharaan, ada juga pihak yang mencatat rekod kelahiran haiwan liar.
Seperti buaya tertua yang pernah ditangkap dan masih hidup hingga kini, Henry, ‘menyambut’ hari lahirnya yang ke-124 pada 16 Disember lalu. Ini menjadikannya buaya tertua di dunia yang hidup dalam ‘tangkapan’ buat masa ini.
BACA: Buaya Tasik Shah Alam Masuk Perangkap
Henry dipercayai ada lebih 10,000 ekor anak
Henry merupakan seekor buaya Nil atau nama saintifiknya, Crocodylus niloticus. Haiwan reptilia kedua terbesar ini ditangkap di Okavango Delta, Botswana pada 1903. Ia kemudiannya dipindahkan ke Pusat Pemuliharaan Dunia Buaya di Scottburgh, Afrika Selatan pada 1985.
Menurut Live Science, Henry dipercayai telah mempunyai lebih 10,000 ekor anak semenjak dipindahkan ke pusat pemuliharaan tersebut. Biarpun tarikh sebenar kelahiran Henry tidak diketahui, wakil pusat pemuliharaan tersebut menganggarkan ia lahir sekitar 1900-an. Mereka turut memutuskan untuk menyambut hari kelahiran Henry pada setiap 16 Disember.
Seorang ahli biologi yang mengkaji umur haiwan di Universiti Alabama, Steven Austad berpendapat Henry sememangnya seekor buaya yang sudah tua.
”Sama ada Henry berusia 100 tahun atau 130 tahun, kita memang tak tahu. Untuk berumur 124 tahun, ia bukanlah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan bagi seekor buaya,” katanya.
Untuk pengetahuan anda, haiwan reptilia sememangnya diketahui mempunyai usia yang panjang. Kebiasaannya, umur haiwan diukur berdasarkan saiz badan mereka. Haiwan yang lebih kecil cenderung mempunyai hayat yang lebih pendek. Hal ini berikutan tahap metabolisma mereka yang lebih tinggi, menyebabkan tenaga yang dibakar lebih banyak dan umur turut meningkat dengan lebih pantas.
BACA: Tular Buaya Di Tasik Shah Alam, Orang Ramai Diminta Berhati-Hati – MBSA
Menurut Austad, haiwan reptilia dapat menyimpan lebih banyak tenaga disebabkan mereka berdarah sejuk. Ini kerana mereka bergantung kepada sumber haba dari luar untuk memanaskan badan.
“Seekor buaya yang bersaiz seperti manusia mungkin hanya perlu makan sekitar empat peratus berbanding mamalia seperti kita,” tambahnya.
Berat 700 kilogram
Henry yang kini seberat 700 kilogram mempunyai ukuran badan sepanjang 5 meter, iaitu antara yang bersaiz besar dalam spesisnya.
Mungkin disebabkan saiz yang besar itu, mereka terlindung daripada pemangsa. Malah, bagi Henry yang tinggal sebagai ‘tahanan’ menjadikannya panjang umur kerana terlindung daripada kemalangan dan jangkitan.
“Haiwan yang tinggal dalam persekitaran yang selamat cenderung hidup dengan lebih lama,” ujarnya lagi.
BACA: Seriau Tengok, Abang Ni Nyaris Disambar Masa Bagi Buaya Makan
Sumber: Live Science, The Forbes